Pameran awam projek PSI dapat maklum balas positif, kata JAS

Pameran awam projek PSI dapat maklum balas positif, kata JAS

JAS berkata, ulasan positif diterima seperti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Projek Penebusgunaan Tanah di Pulau Pinang Selatan mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut. (Gambar SRS Consortium)
GEORGE TOWN:
Hasil pameran awam Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Penebusgunaan Tanah di Pulau Pinang Selatan (PSI) mendapat majoriti ulasan positif daripada responden.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pameran awam pada 20 Mei hingga 18 Jun 2022 secara hibrid dan pada 21 Nov 2022 sehingga 4 Jan 2023 mendapat ulasan positif seperti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, pembangunan ekonomi dan faedah kepada nelayan.

“Hasil daripada pameran awam EIA pertama, 3,464 ulasan awam direkodkan dan 93% daripada responden tersebut memberikan ulasan yang positif manakala pameran EIA awam kedua, 799 ulasan orang awam diterima sepanjang tempoh pameran awam dan 73.7% daripada responden yang diterima memberi ulasan yang positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Wan Abdul Latiff berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan Laporan EIA seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala kelulusan projek adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

Katanya, JAS telah membuat penilaian dari segi impak alam sekitar (magnitud dan tahap signifikannya) serta cadangan langkah-langkah mitigasi dan kawalan pencemaran dengan mengambil kira semua input daripada panel penilai dan orang awam supaya projek ini mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di Pulau Pinang.

“Surat kelulusan Laporan EIA bagi cadangan projek tersebut ditandatangani pada 11 April 2023 berserta dengan 71 syarat-syarat kelulusan laporan EIA yang perlu dipatuhi oleh penggerak projek,” katanya.

Beliau berkata setelah projek diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (agensi pelulus projek), pelaksanaan projek tidak boleh dimulakan di tapak sehingga penggerak projek menyediakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dan dipersetujui oleh JAS terlebih dahulu.

“JAS juga menarik perhatian pihak kerajaan Pulau Pinang untuk memastikan pelaksana projek memberi perhatian serius terhadap impak sisa-sisa dan melaksanakan semua langkah mitigasi dan kawalan pencemaran tanpa gagal dengan nasihat teknikal jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan,” katanya

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan laporan EIA bagi projek PSI mendapat kelulusan daripada JAS di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan kira-kira 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Namun, projek itu mendapat bantahan komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.