‘Little Napoleon’ dalam PMO punca hubungan keruh, bukan Anwar, kata Sanusi

‘Little Napoleon’ dalam PMO punca hubungan keruh, bukan Anwar, kata Sanusi

Menteri besar Kedah itu berkata, sesetengah pegawai terbabit mahu memecahbelahkan hubungan kerajaan persekutuan dan negeri.

Sanusi Nor berkata, Anwar Ibrahim perlu menggantikan beberapa pegawainya, jika mereka tidak layak bertugas di Pejabat Perdana Menteri.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor berkata, hubungan keruh antara negeri itu dan Putrajaya bukan berpunca daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya, terdapat “Little Napoleon” dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mahu memecahbelahkan hubungan kerajaan persekutuan dan negeri.

Beliau mendakwa “Little Napoleon” ini bertanggungjawab menghantar jemputan rasmi untuk acara perdana menteri, dengan memetik contoh Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) dan dakwaan penyingkirannya daripada Majlis Kewangan Negara.

“Saya faham betapa sibuknya pemimpin, jadi kebanyakan perkara kecil diuruskan pegawai ini, tetapi mereka bertindak seperti ‘Little Napoleon’. Niat mereka untuk menjadikan bos mereka kelihatan baik, tetapi cara mereka lakukannya mungkin mengundang padah.

“Saya hanya berterus-terang. Saya harap perdana menteri akan dengar apa yang saya katakan. Jika pegawai itu tidak sesuai berada di sana, beliau patut gantikan mereka,” katanya menurut New Straits Times.

Bulan lalu, Sanusi mendakwa beliau dihalang menghadiri program anjuran Putrajaya, termasuk LIMA yang akan diadakan di Langkawi bulan depan.

Beliau kemudiannya mendakwa terdapat usaha menyingkirkannya daripada Majlis Kewangan Negara, tetapi mengakui tiada bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi Disember tahun lalu berhubung kenyataan pemimpin PAS itu terhadap presiden PKR dalam ceramah pilihan raya pada November lalu.

Tetapi, Sanusi menyifatkan saman itu hanya soal politik dan tidak berdendam dengan perdana menteri.

“Selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri, kami berurusan secara kerajaan dengan kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.