Legasi Laksamana Thana masih wujud selepas 55 tahun

Legasi Laksamana Thana masih wujud selepas 55 tahun

Antara pencapaiannya, K Thanabalasingam bertanggungjawab mereka bentuk panji-panji TLDM yang masih digunakan hingga kini.

K Thanabalasingam dilantik sebagai panglima pertama TLDM pada 1967.
PETALING JAYA:
K Thanabalasingam bukan saja panglima pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), malah beliau juga sinonim sebagai pelopor kerana mereka bentuk panji pasukan itu yang terus berkibar gagah hingga hari ini.

Ketika mengambil alih jawatan panglima TLDM pada 1967, beliau yang lebih mesra dipanggil Thana, merasakan panji rekaan British dengan salib St George tidak sesuai untuk Malaysia yang sudah merdeka.

Setahun kemudian, beliau tampil dengan panji baharu yang lebih mencerminkan Malaysia.

“Saya tidak mahu ada unsur keagamaan pada panji itu,” katanya kepada FMT dalam temu bual sempena Hari TLDM hari ini.

K Thanabalasingam dilantik sebagai panglima pertama TLDM pada 1967.

Namun, lelaki berpewatakan sederhana yang berusia 87 tahun itu tidak mahu mengambil semua kredit untuk reka bentuk panji itu.

Beliau berkata, cetusan ideanya muncul kerana beliau mahukan identiti Malaysia untuk TLDM.

Beliau menghormati Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang berfikiran terbuka dan bertolak ansur.

Timbalan Tunku yang juga Menteri Pertahanan ketika itu, Abdul Razak Hussein turut teruja dengan idea Thana.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak semudah itu. Pertama, saya perlu mengemukakan cadangan saya dengan lakaran panji baharu dan penjelasan mengenai perubahan itu kepada Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk pertimbangan dan kelulusannya.

“MAT meluluskannya sebulat suara. Ia kemudiannya dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan kerana baginda merupakan komander tertinggi angkatan tentera. Hanya selepas baginda memberi persetujuan, barulah reka bentuk panji baharu itu dibenar untuk dilaksanakan.”

Thana kemudiannya mengeluarkan arahan kepada TLDM untuk melaksanakan perubahan pada tarikh tertentu tanpa sebarang upacara bagi menandakan peristiwa itu.

Pengenalan panji baharu itu bukanlah kejayaan besar pertamanya dalam TLDM.

Pengalamannya menjalankan rondaan di perairan Malaysia semasa konfrontasi Indonesia dan Malaysia selama tiga tahun mulai 1963, membuatkan beliau sedar jurang perbezaan antara perairan wilayah dituntut sejauh 12 batu nautika dari Indonesia dan tiga batu nautika dari Malaysia.

“Apabila saya dilantik sebagai panglima, saya bangkitkan isu ini kepada menteri pertahanan. Bagaimanapun, memandangkan ada banyak kementerian, Jabatan Peguam Negara, jabatan dan agensi kerajaan lain perlu terlibat ia mengambil masa.”

Apabila keadaan kembali normal selepas peristiwa 13 Mei 1969, Thana sekali lagi membangkitkan isu itu kepada Razak dengan risiko menyebabkan beliau marah.

K Thanabalasingam menyambut ketibaan Tunku Abdul Rahman di Pangkalan Tentera Laut Woodlands pada 1969.

“Tun Razak membincangkannya dengan pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Kadir Shamsuddin, Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shaffie dan pakar undang-undang.”

Akibatnya, perairan wilayah Malaysia diperluaskan kepada 12 batu nautika di bawah Ordinan Darurat kerana Parlimen tidak lagi berfungsi ketika itu.

“Saya sangat puas hati kerana memainkan peranan walaupun kecil, tetapi penting dalam perluasan perairan wilayah kita.”

Ketika semua itu berlaku, Razak mengarahkan Thana mula memindahkan pangkalan TLDM dari Singapura ke Malaysia. Apabila Thana bertanyakan lokasinya, jawapan mudah Razak adalah di mana saja yang difikirkan sesuai.

Bendera British dan panji tentera laut yang direka K Thanabalasingham.

“Saya dengan senang hati kata ‘Lumut, Tuan’, jika kajian kebolehlaksanaan membuktikannya. Pada mulanya, Tunku bertegas supaya pangkalan itu ditempatkan di Pelabuhan Klang. Walaupun Tun Razak meminta Tunku memikirkan semula lokasi itu berdasarkan nasihat saya dan juga rayuan saya kepada Tunku secara peribadi, beliau tetap dengan keputusan memindahkannya ke Pelabuhan Klang.”

Selepas darurat diisytiharkan kerana rusuhan 13 Mei, Razak dilantik sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara dan meminta Thana meneruskan rancangan memindahkan pangkalan tentera laut ke Lumut.

Walaupun peristiwa 13 Mei mungkin membantunya dalam rancangan memindahkan pangkalan tentera laut ke Lumut, ia secara tidak langsung menyekat kerjayanya dan menyebabkan beliau “bersara” awal ketika berusia 40 tahun pada akhir 1976 selepas kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru.

Beliau memegang pangkat Laksamana Muda, tertinggi dalam TLDM ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.