KPM perluas IMFree, tangani masalah vape kalangan murid

KPM perluas IMFree, tangani masalah vape kalangan murid

Ia sebagai langkah menangani amalan menghisap rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid.

Kementerian Pendidikan mahu melaksanakan program IMFree untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di 636 sekolah rintis supaya kekal tidak merokok sepanjang hayat.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan program IMFree tahun ini dan seterusnya menangani amalan menghisap rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid.

Menurut KPM, program IMFree dilaksanakan kepada murid sekolah rendah Tahun 1 hingga Tahun 6 di 636 sekolah rintis untuk memastikan mereka yang lahir pada 2009 dan ke atas kekal tidak merokok sepanjang hayat.

“Program IMFree antaranya bertujuan memberi pengetahuan tentang bahaya merokok dan melatih murid menjadi ejen, pencetus atau penyampai maklumat perubahan kepada rakan serta keluarga terhadap bahaya merokok,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, KPM juga telah melaksanakan program lima minit anti-rokok/vape dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen anti-merokok atau vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah.

Program bersama Jabatan Pendidikan negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dengan kerjasama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bertujuan menerapkan nilai kesedaran, membentuk jati diri dan memastikan murid mempunyai daya tahan tinggi.

Menurut kenyataan itu, KPM mengambil maklum dan prihatin terhadap beberapa laporan media mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid.

KPM sentiasa memberi peringatan kepada JPN, PPD dan sekolah berkaitan ‘Surat Siaran KPM Bil 17/2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di Sekolah’.

“Selain itu, pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah berkesan untuk memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah,” katanya.

KPM sentiasa komited dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan berkaitan isu disiplin sebagai usaha berterusan memberi kesedaran, kemahiran, pengetahuan serta bimbingan kepada murid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.