
Beliau berkata, penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang diluluskan Putrajaya ialah permohonan baharu.
Kelulusan EIA terdahulu untuk projek PSI pada 2019 dibatalkan dua tahun kemudian.
“(Kes itu) di mahkamah dan kami masih meneruskannya. Tetapi, ini (EIA) adalah permohonan baharu dan ia telah diluluskan. Tetapi, ia masih tertakluk kepada proses rayuan,” katanya pada sidang media ketika mengulas rungutan nelayan bahawa projek PSI akan menjejaskan periuk nasi mereka.
Terdahulu, Zakaria Ismail, yang mengetuai sekumpulan nelayan memfailkan rayuan terhadap PSI pada 2021 memberitahu FMT, mereka akan mengemukakan rayuan baharu selepas projek itu mendapat kelulusan akhir pengawal selia alam sekitar persekutuan.
Chow berkata, kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) disertakan 71 syarat dan kerajaan negeri patut dibenarkan untuk membuktikan ia boleh mematuhinya.
“Jika anda tidak membenarkan penyokong projek (kerajaan negeri) memulakan kerja, tidak ada cara untuk membuktikan sama ada mereka akan mematuhi (syarat) atau tidak.”
Kumpulan masyarakat sivil dan orang ramai boleh mendapatkan butiran 71 syarat itu daripada Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek PSI dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Semalam, kumpulan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia menggesa pihak berkuasa mendedahkan 71 syarat dan alasan meluluskan projek PSI.
Projek itu pernah dibantah nelayan, pencinta alam sekitar dan kumpulan pesara kerajaan G25 kerana bimbang ia akan menjejaskan ekosistem marin.
Projek penambakan PSI bernilai RM10 bilion adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai PTMP bernilai RM46 bilion melalui penambakan tiga pulau seluas 1,620ha di luar Permatang Damar Laut.