
S Karthigesu, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialaminya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Azahari Abdullah berkata, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada 8.27 malam.
Beliau berkata, jentera bomba sukar memasuki lokasi kejadian kerana tiang elektrik turut tumbang dan merentangi jalan raya.
Justeru, katanya, bilik kawalan BBP Aman Jaya menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi berkaitan untuk meminta bantuan.
“Komander operasi melaporkan seorang lelaki berusia 50-an dipercayai tersepit dalam Proton Waja.
“Mangsa dikeluarkan dari kereta, namun disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, komander operasi memaklumkan lebih 10 pokok di kawasan sekitar tempat kejadian tumbang menyebabkan banyak kenderaan mengalami kerosakan.
“Enam kenderaan yang mengalami kerosakan adalah dua Proton Waja, Perodua Myvi, Nissan X-Trail dan BMW.
“Bomba kemudian mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya dengan dibantu agensi berkaitan,” katanya sambil menambah operasi tamat pada 12.38 tengah malam tadi.