
Onn Hafiz Ghazi mahu Jabatan Imigresen terus memberi perkhidmatan terbaik seperti menjelang sambutan Aidilfitri minggu lalu dalam usaha melancarkan perjalanan orang ramai di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Hari ini, saya mendapat laporan banyak kaunter ditutup walaupun ada banyak kenderaan.
“Kita perlu terus konsisten dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam catatan Facebook sambil menyertakan empat gambar keadaan di kaunter imigresen BSI pada pagi tadi.
Pada 19 April lalu, Onn Hafiz dilaporkan meminta Jabatan Imigresen meningkatkan kecekapan dengan membuka semua kaunter melibatkan laluan pejalan kaki, kereta, motosikal dan bas di CIQ BSI disebabkan jangkaan peningkatan kenderaan menjelang Aidilfitri dari Johor Bahru ke Singapura dan sebaliknya.
Katanya, ia bagi memastikan pergerakan orang ramai berjalan lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat pula dilaporkan berkata, kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki Johor, termasuk menerusi jalan darat di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena Aidilfitri.