Paip bocor disyaki punca tanah runtuh di Akademi SPRM, kata menteri

Paip bocor disyaki punca tanah runtuh di Akademi SPRM, kata menteri

Alexander Nanta Linggi berkata ia hasil siasatan Jabatan Kerja Raya mengenai insiden berlaku tengah hari tadi.

Berdasarkan siasatan awal Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), kebocoran paip air bawah tanah kemungkinan menyumbang kepada insiden tanah runtuh di Akademi SPRM. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Tiada tanda-tanda faktor semula jadi dikenal pasti menyebabkan runtuhan tanah di kawasan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, tengah hari tadi.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata berdasarkan siasatan awal Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), kebocoran paip air bawah tanah kemungkinan menyumbang kepada insiden berkenaan.

“Bagaimanapun, JKR sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci,” katanya di Facebook.

Beliau memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Nanta turut merakamkan simpati kepada mangsa terlibat dan berharap usaha mengenal pasti punca sebenar serta langkah mengawal runtuhan di lokasi kejadian dapat disegerakan.

Terdahulu, dilaporkan seramai 76 petugas pentadbiran SPRM dan IIM berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan berkenaan, kira-kira 1.30 tengah hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.