Operasi pembiakan Aedes, Johor keluar kompaun RM1 juta

Operasi pembiakan Aedes, Johor keluar kompaun RM1 juta

Sebanyak 2,132 kompaun dikeluarkan menerusi operasi penguatkuasaan pembiakan Aedes sejak awal tahun ini.

Exco Kesihatan negeri, Ling Tian Soon menggesa orang ramai memainkan peranan membersihkan rumah, mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan 2,132 kompaun bernilai RM1.017 juta menerusi operasi penguatkuasaan pembiakan nyamuk Aedes sejak awal tahun ini.

Exco Kesihatan negeri, Ling Tian Soon, berkata penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan tempat pembiakan seperti di kawasan rumah dapat dimusnahkan secara berterusan oleh anggota kesihatan.

“Penemuan tempat berisiko pembiakan termasuk dalam rumah, masih menunjukkan masyarakat belum peka terhadap keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko pembiakan Aedes.

“Masyarakat perlu membersihkan rumah sendiri dengan melakukan aktiviti mencari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja. Ini adalah bagi memastikan tiada tempat atau bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan mencegah pembiakan Aedes termasuk menggunakan ubat jentik-jentik, membuang atau menutup bekas takungan air dan mengadakan gotong-royong secara berkala.

Ling berkata, sebanyak 152 kes demam denggi dilaporkan di Johor pada Minggu Epidemiologi ke-16 berbanding 156 kes pada minggu ke-15.

“Daripada jumlah kes denggi dilaporkan sepanjang minggu itu, sebanyak 55 kes dilaporkan dari lokaliti wabak dan 97 kes dari lokaliti bukan wabak.

“Johor Bahru daerah mempunyai kes tertinggi iaitu sebanyak 111 kes, diikuti Kulai (13), Kluang (enam), masing-masing (lima) di Muar, Kota Tinggi dan Batu Pahat manakala Segamat, Pontian dan Tangkak masing-masing dua kes dan satu kes di Mersing,” katanya.

Sementara itu, Ling berkata, sebanyak 353 kes Covid-19 dengan subvarian XBB dilaporkan di negeri ini membabitkan sembilan daerah setakat 22 April lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi kes Covid-19 di Johor masih terkawal sekali gus menjelaskan subvarian BF.7 dan XBB 1.16 masih belum lagi dilaporkan di negeri berkenaan.

“Daerah Johor Bahru merekodkan jumlah tertinggi kes Covid-19 subvarian XBB iaitu sebanyak 200 kes.

“Seterusnya Muar sejumlah 33 kes, Kulai (28 kes), Batu Pahat (23 kes), Kluang (22 kes), Kota Tinggi (20 kes), Tangkak (14 kes), Pontian (11 kes) dan Segamat (2 kes),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.