Dokumen pengenalan sementara dikeluar kepada Lina 13 April, kata JPN

Dokumen pengenalan sementara dikeluar kepada Lina 13 April, kata JPN

JPN berkata pihaknya ketika itu bertemu Lina Samuel dan membuka kertas siasatan berhubung kad pengenalannya dirampas.

Pesakit kanser kolon, Lina Samuel (kanan) yang tiada kad pengenalan meninggal dunia hari ini. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April lalu kepada Lina Samuel, yang dilaporkan meninggal dunia hari ini akibat kanser kolon, demikian menurut jabatan itu.

Mendiang sebelum ini dilaporkan oleh pihak media tidak mempunyai kad pengenalan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

JPN dalam kenyataan memaklumkan jabatan itu bertemu dengan Lina sebelum ini dan membuka kertas siasatan bagi kes beliau.

“Atas dasar keprihatinan dan kebajikan mendiang, JPN mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April 2023,” kata jabatan itu dalam kenyataan.

JPN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Laporan media sebelum ini menyebut MyKad Lina dirampas sewaktu beliau hendak menukar alamatnya bagi membolehkannya mengundi pada PRU15 tahun lalu.

Menurut JPN, pengarah kesihatan negeri Sarawak dalam kenyataan pada 12 April lalu memaklumkan mendiang tetap diberikan perkhidmatan rawatan sewajarnya di Hospital Miri secara berterusan tanpa sebarang prejudis walaupun semasa tempoh ketiadaan dokumen pengenalan diri.

JPN dalam pada itu meminta orang ramai mempunyai persoalan atau masalah berkaitan hal pendaftaran sama ada urusan kelahiran, kad pengenalan, kematian, perkahwinan dan kewarganegaraan untuk hadir di mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.