ChatGPT cipta pekerjaan baharu, pelengkap industri sedia ada, kata Pusma

ChatGPT cipta pekerjaan baharu, pelengkap industri sedia ada, kata Pusma

Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia berkata ia adalah suatu tindak balas positif antara dunia pekerjaan dengan perubahan pendigitalan.

Kemunculan ChatGPT tidak bermakna sesuatu pekerjaan itu bakal diambil alih, sebaliknya ia boleh memudahkan pekerja, kata Presiden Pusma, Siti Zarina Ismail. (Gambar Unsplash)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (Pusma) berpendapat teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) ChatGPT bukan sahaja dapat mencipta pekerjaan dan pasaran baharu, malah berperanan penting sebagai pelengkap kepada industri sedia ada.

Presidennya, Siti Zarina Ismail, berkata masyarakat mampu memperoleh set kemahiran baharu walaupun perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan transformasi pendigitalan ketika ini.

“Ini memperlihatkan suatu tindak balas positif antara dunia pekerjaan dengan perubahan pendigitalan, sebagaimana peralihan kepada sistem mekanisme suatu ketika dahulu yang telahpun mencipta peluang mahupun jenis pekerjaan baru di sektor-sektor tertentu,” katanya kepada FMT.

Siti Zarina berkata, aplikasi ChatGPT adalah sejenis model bahasa yang dilatih menjana respons seperti manusia kepada input yang diberikan serta mampu membawa industri penulisan mahupun perkhidmatan pelanggan ke tahap yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna sesuatu pekerjaan itu bakal diambil alih, sebaliknya pekerja dalam sektor berkenaan boleh memanfaatkan penggunaan ChatGPT untuk memudah dan menghasilkan kerja yang lebih produktif.

“Walaupun pelbagai institusi meramalkan wujudnya gangguan besar-besaran ChatGPT terhadap pasaran kerja sepenuh masa, tapi kita perlu mengambil kira batasan seperti kesilapan pengekodan, salah faham pertanyaan pelanggan, mencipta kenyataan palsu dan lain-lain.

“Kita masih memerlukan kecerdikan mahupun pandangan manusia dalam operasi sesebuah syarikat biarpun mengakui penerimaan manfaat kemajuan teknologi dibawa ChatGPT dalam kehidupan seharian,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya aplikasi teknologi berkenaan mampu melengkapkan pekerja dengan mengurangkan beban pentadbiran yang berulang, pada masa mencipta peluang pekerjaan baru serta mempertingkat kualiti kehidupan masyarakat pada tahun-tahun akan datang.

Sebelum itu, analisis Goldman Sachs menjangkakan sebanyak 300 juta pekerjaan di seluruh dunia bakal digantikan oleh teknologi AI di mana pasaran buruh mungkin akan terjejas dengan ketara.

5 April lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, AI tidak akan mengurangkan peluang pekerjaan kerana ia tidak akan menggantikan sepenuhnya tenaga kerja manusia.

Katanya, penyediaan tenaga kerja yang mahir untuk mengendalikan dan mengoperasikan AI sedang dilaksanakan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.