Tak perlu pertikai siapa cetus konsep Rahmah, kata menteri

Tak perlu pertikai siapa cetus konsep Rahmah, kata menteri

Konsep Rahmah tidak perlu dipertikai mana-mana pihak selagi ia dapat memanfaatkan rakyat, kata Salahuddin Ayub.

PONTIAN:
Isu siapa yang mencetuskan konsep Rahmah tidak perlu dipertikai mana-mana pihak selagi ia dapat memanfaatkan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata ini kerana inisiatif Rahmah yang diperkenalkan kerajaan perpaduan adalah untuk memberikan faedah kepada rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup.

“Saya tidak ada masalah sekiranya mereka (parti politik) hendak tuntut tentang inisiatif rahmah, yang penting bagi saya rakyat yang mendapat faedah.

“Seperti Dr Mahathir Mohamad, di era beliau sudah ada ‘baby’ iaitu Wawasan 2020, jadi saya rasa itu tidak menjadi pertikaian. Jadi bagi saya, biarlah era Anwar Ibrahim dengan konsep Madani dan memperkenal inisiatif Rahmah yang dapat menyantuni serta mendasari setiap keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka di kediamannya di Tanjung Piai.

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Mahdzir Ibrahim bahawa konsep Rahmah merupakan hasil cetusan Dr Mahathir.

Terdahulu, Mahdzir dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata konsep Rahmah yang diperkenalkan kerajaan perpaduan didakwa bukan daripada idea Anwar, sebaliknya gagasan Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri ketujuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.