
Setiap malam Jumaat, kumpulan sekitar 50 kanak-kanak ini, dari sekecil usia 5 tahun, akan duduk mengelilingi Azhan Adnan, seorang sukarelawan yang meluangkan tenaga, masa, dan modal untuk memberi peluang kedua bagi golongan terabai ini.

“Di mana mereka bermain, di situ mereka belajar. Chow Kit ini rumah mereka, lorong-lorong ini ibarat ruang tamu, bilik itu hanya tempat tidur,” kata Azhan, 55, yang bergerak bawah Pertubuhan Jejak Jalanan kepada FMT.
Memang mudah untuk tidak perasan kewujudan ‘anak lorong’ ini bila deria terpesona dengan kemeriahan kedai dan ragam manusia di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sekali pandang nampak seperti kanak-kanak lain yang dibawa berjalan-jalan oleh ibu bapa mereka, namun apabila jam melewati 10 malam, mereka terus berada di situ tidak seperti orang lain. Kebiasaannya, ibu dan bapa mereka atau salah seorangnya hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil.
Setiap minggu pada Khamis, ketika jam menghampiri 9 malam, kanak-kanak ini bergegas ke suatu lorong di celah-celah kedai untuk membelek bahan-bahan bacaan yang dibawa Azhan. Sebaik ternampak beliau, mereka akan berlari kepadanya sambil melaungkan ‘ayah’ – panggilan untuk Azhan yang sudah hampir dua tahun tahun mendekati mereka.
“Mereka lebih selesa berada di tempat mereka. Kalau kita nak heret dia pergi ke satu tempat untuk belajar ia tak akan berjaya,” katanya, dan menambah dalam kalangan ‘anak lorong’ ada yang buta huruf meskipun usia sudah mencapai 13 tahun.
“Mereka akan mewarisi kesusahan ibu bapanya nanti. InsyaAllah dengan pendidikan yang baik, mereka akan tarik keluarga mereka keluar daripada lorong-lorong ini. Tak ada orang nak duduk di lorong, dalam bilik sempit begitu.”

Bagi Azhan, bapa kepada 10 orang anak, pelajaran kunci mengubah kehidupan dan ia bermula dengan membaca. “Fokus kita: daripada tak membaca mereka pandai membaca, daripada pandai membaca akan mahir membaca, daripada mahir membaca mereka akan mahir setiap mata pelajaran itu.”
Namun melahirkan seorang insan memerlukan lebih daripada belajar semata-mata. Dalam kamus hidup Azhan, kasih sayang sentiasa mempunyai tempat dalam pendidikan malah memberi kesan yang besar – dan ia kelihatan dalam percakapan kanak-kanak yang diajarnya, daripada ‘agak kasar’ kepada beransur baik.
Hampir setiap hari Azhan akan datang bersama bantuan makanan, pakaian, dan kelengkapan bilik, atau paling tidak bertanya khabar. Ketika Ramadan ‘anak-anak lorong’ ini diperkenalkan kepada sekumpulan pelajar tahfiz, yang bersolat jemaah dan mengalunkan qasidah di lorong mereka.

Beliau juga memberitahu FMT bahawa bulan depan, tuisyen di celah lorong ini akan dinaiktaraf kepada 5 mata pelajaran teras dengan kekerapan tiga kali seminggu, dengan kerjasama aktivis.
“Sekiranya saya berada di sini, saya nak beri kasih sayang, didikan agama dan dunia, kasih seorang ayah. Kita selalu menegur dan kalau mereka nak buat sesuatu mereka akan fikir panjang apa yang tak boleh buat,” katanya, menyedari bahawa mereka terdedah kepada sisi gelap metropolitan Kuala Lumpur.