Sarawak aktifkan pelan tindakan kemarau

Sarawak aktifkan pelan tindakan kemarau

Pengguna dinasihatkan melaporkan sebarang kejadian tekanan air rendah dengan segera atau masalah bekalan air di kawasan mereka kepada pihak berkuasa.

KUCHING:
Pihak berkuasa bekalan air di Sarawak mengaktifkan pelan tindakan bagi mengurangkan kesan musim kemarau yang dijangka berlarutan hingga Ogos ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Julaihi Narawi.

Beliau berkata sebagai lanjutan kepada pelan tindakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu, dan LAKU Management Sdn Bhd, pemimpin masyarakat dan pengguna dinasihatkan melaporkan sebarang kejadian tekanan air rendah dengan segera atau masalah bekalan air di kawasan mereka kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Lori tangki pada masa ini sedang siap siaga untuk digerakkan ke kawasan terputus bekalan air jika masalah bekalan air berlarutan. Hal ini ketika ini diambil alih di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” kata Julaihi kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran beliau.

Bagi kawasan terjejas, pusat pengumpulan air akan diwujudkan di lokasi strategik yang akan dihebah dan dikemas kini secara berkala.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini dilaporkan berkata rakyat harus bersiap sedia menghadapi kemungkinan jerebu ekoran cuaca panas dan kering beberapa bulan akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.