Tunggu keputusan rayuan, menteri jawab dakwaan gantung operasi Lynas

Tunggu keputusan rayuan, menteri jawab dakwaan gantung operasi Lynas

Media melaporkan Lynas merancang untuk menggantung sementara operasi atau memasuki tempoh pengeluaran rendah sekiranya larangan mengimport dan memproses bahan radioaktif kekal.

 
PETALING JAYA:
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang enggan mengulas laporan berhubung kemungkinan Lynas menggantung operasi jika gagal membatalkan syarat lesen Putrajaya.

“Rayuan telah difailkan Lynas dan kementerian telah menetapkan tarikh untuk sesi pendengaran rayuan. Kita tunggu keputusannya,” katanya kepada FMT.

Semalam, The Star melaporkan Lynas merancang untuk menggantung sementara operasi atau memasuki tempoh pengeluaran rendah di Malaysia bermula Jun sekiranya larangan mengimport dan memproses bahan radioaktif dikekalkan.

Lynas berkata, ia sudah menjangkakan senario berbeza mengenai larangan dan syarat pelesenan, termasuk mengimport bahan mentah dari Kalgoorlie, Australia Barat.

“Disebabkan loji pemecahan dan larut-lesap terus beroperasi tanpa bahan mentah, keseluruhan loji Lynas Malaysia akan ditutup pada pertengahan Julai sehingga nadir bumi karbonat campuran (mixed rare earth carbonate atau MREC) diterima daripada Kalgoorlie.

“Kadar bekalan MREC kepada loji Lynas Malaysia akan bergantung kepada kelajuan peningkatan di Kalgoorlie,” kata syarikat itu.

Lynas berkata, ia menjangkakan jualan akan kembali kepada kadar biasa pada suku keempat tahun kewangan 2023, yang konsisten dengan kadar peningkatan pada separuh pertama tahun kewangan 2024.

Jumaat lalu, FMT melaporkan Lynas diberikan suatu pendengaran pada 28 April, dalam usaha ia memohon kerajaan membatalkan larangan ke atas pengimportan dan pemprosesan unsur nadir bumi di Malaysia.

Kes tersebut dilihat sebagai percubaan terakhir untuk memastikan ia dapat terus beroperasi di kilangnya di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai.

Pada 14 Feb lalu, lesen operasi Lynas diperbaharui selama tiga tahun berkuat kuasa 3 Mac, tanpa perubahan pada syarat-syarat tersebut yang diperkenalkan pada Mac 2020.

Sementara itu, Chang berkata kerajaan boleh membatalkan lesen Lynas jika gagal mematuhi syarat-syarat tersebut.

Katanya, tiada sesiapa berhak menghasilkan sisa radioaktif di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.