Rumah terbuka PM dianggap ‘kempen pilihan raya’, kata Sanusi

Rumah terbuka PM dianggap ‘kempen pilihan raya’, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata Putrajaya bertentangan dengan pendirian berjimat cermat apabila menganjurkan beberapa majlis jamuan.

PETALING JAYA:
Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri yang akan mengadakan PRN dianggap sebagai kempen pilihan raya yang tidak wajar diadakan.

Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor, berkata Putrajaya bertentangan dengan pendirian berjimat cermat apabila menganjurkan beberapa majlis jamuan itu.

Tegasnya, jamuan Aidilfitri seharusnya diadakan di Seri Perdana atau sekitar Putrajaya sahaja seperti kelaziman sebelum ini.

Jabatan Perdana Menteri pada Khamis mengumumkan rumah terbuka tahun ini tidak akan diadakan di Seri Perdana, sebaliknya di Kedah (29 April), Kelantan (12 Mei), dan Terengganu (13 Mei), serta Pulau Pinang (6 Mei), Selangor (14 Mei), dan Negeri Sembilan (7 Mei).

Dewan Undangan Negeri di enam negeri itu akan dibubarkan atau tamat pada Jun, dengan pilihan raya dijangka diadakan pada Julai.

Sanusi mempersoalkan pembabitan beberapa kementerian dalam penganjuran rumah terbuka itu, seperti yang diumumkan pada Khamis.

Beliau berkata kementerian tidak ada belanjawan khusus untuk buat rumah terbuka.

“Rakyat akan nilai kamu guna dana kerajaan, dana kementerian, buat program kempen pilihan raya untuk parti kamu. Itu tak betul,” katanya, lapor Sinar Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.