Bagi keluarga dalam buangan, juadah Aidilfitri pengubat rindu kepada tanah air

Bagi keluarga dalam buangan, juadah Aidilfitri pengubat rindu kepada tanah air

Keluarga Bushra Kanwal melarikan diri daripada diskriminasi dan penganiayaan di tanah air mereka pada 2016 serta mendapat perlindungan di Malaysia.

Bushra Kanwal bersama suaminya, Naseer Ahmed dan tiga anak berbuka puasa bersama.
KUALA LUMPUR:
Setiap kali Bushra Kanwal menikmati yakhni pulao, hidangan dari Pakistan, beliau merasakan dirinya kembali ke dapur di mana kakak dan ibunya sibuk memasak untuk Aidilfitri.

Keluarganya biasanya akan menyediakan hidangan daging lembu pada raya kedua. Tetapi, Bushra kini memasaknya ketika Ramadan untuk mengubat rindu terhadap kampung halaman.

Bushra bersama suaminya, Naseer Ahmed dan tiga anak mereka hidup dalam buangan di Malaysia sebagai pelarian. Keluarga itu ialah Ahmadiyah, mazhab yang diharamkan Pakistan sejak 1974 dan tidak diterima sebagai Muslim atas kepercayaan mereka. Komuniti itu dilarang menyertai aktiviti Islam.

Di Pakistan, keluarga Bushra berdepan diskriminasi dan penganiayaan setiap hari.

Bushra dan Naseer berkata, individu bukan pengikut Ahmadiyah akan melontar batu besar dan objek lain ke rumah mereka.

“Jika pintu dipecahkan, mereka boleh masuk. Saya hubungi polis meminta bantuan, mereka kata ‘kami boleh hantar polis peronda, tetapi mereka tiada kebenaran untuk menyelamatkan anda’,” katanya kepada FMT.

Pada 2016, Naseer ditahan individu tidak dikenali selama 11 hari, dia kemudian berjaya melarikan diri. Selepas itu, keluarganya memutuskan untuk berpindah.

Ramadan dan Aidilfitri tidak sama lagi sejak mereka meninggalkan Pakistan, tetapi Bushra bersyukur keluarganya hidup dengan selamat di Malaysia.

Satu-satunya kekurangan ialah cara mereka menyambut 1 Syawal.

“Kami mempunyai rakan komuniti di sini, tetapi terlalu malu untuk mengganggu mereka. Jadi, kebiasaannya kami hanya berada di rumah.

Seviyan ialah manisan popular di Pakistan yang disediakan hampir setiap keluarga untuk Aidilfitri.

“Di Pakistan, kami akan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama saudara-mara dan berkunjung ke rumah mereka, tetapi di Malaysia, kami tiada keluarga,” kata Bushra.

Pun begitu, ia tidak menghalang Bushra daripada menghidangkan juadah bagi meraikan Aidilfitri. Selain yakhni pulao, dia turut menyediakan seviyan, manisan diperbuat daripada susu, gula dan bihun panggang.

“Ia makanan pertama dinikmati lelaki selepas pulang daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid.”

Setiap kali Ramadan dan AIdilfitri, Bushra memasak hidangan kegemaran dari tanah airnya seperti yakhni pulao, kebab dan samosa.

Bursa turut menyediakan samosa sayur, kebab ayam dan salad buah: hidangan berwarna-warna dan lazat untuk keluarganya ketika Ramadan dan Aidilfitri sejak tujuh tahun lalu.

Ditanya jika mereka akan mempertimbangkan pulang ke Pakistan kelak, Bushra dan Nasser berkata, ia bukan pilihan disebabkan faktor keselamatan.

“Di Malaysia, kami boleh meraikan aktiviti keagamaan kami dan bergembira. Kami tidak berasa takut, kami mempunyai kebebasan.”

Tetapi, katanya, “kami tetap rindu kampung halaman”, kashnya ketika Aidilfitri.

“Saya rindu idea berkumpul kerana semasa menyediakan makanan dan makan bersama, anda akan sentiasa mengingatinya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.