Sokongan terhadap kerajaan perpaduan amat positif, kata Fahmi

Sokongan terhadap kerajaan perpaduan amat positif, kata Fahmi

Dapatan kajian baru-baru ini menunjukkan sentimen yang baik dalam kalangan rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR:
“Mood” serta sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mentadbir negara ini amat positif, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata beberapa dapatan kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan sentimen yang baik dalam kalangan rakyat. Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak boleh leka dan dibuai mimpi walaupun rakyat menyokong usahanya ketika ini.

“Ini waktu kita untuk kerja keras bukan sahaja untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga segera selesaikan masalah rakyat.

“Dapatan Jabatan Perangkaan terhadap tahap peningkatan inflasi juga berkurangan kepada 3.4%, ini bermaksud ikhtiar kerajaan berjaya kawal peningkatan harga barang… tetapi banyak lagi yang perlu kita lakukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu. Turut hadir Anwar dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi PRN di enam negeri, Fahmi berkata gabungan kerajaan sedang merangka strategi yang sesuai khususnya untuk mendekati pengundi muda.

“Kita perlu rangka strategi mengikut tempat agar kita dapat sampaikan mesej kepada mereka … kita faham setiap kumpulan ada strategi komunikasi yang berbeza,” katanya.

Dilaporkan enam negeri itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.