
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata PH perlukan Umno untuk membentuk kerajaan yang stabil manakala Umno perlu berada dalam kerajaan bersama PH untuk akses kepada kementerian dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
“Bagi Umno, berpakat dengan PH lebih baik berbanding dengan Perikatan Nasional memandangkan ia akan jadi ‘ahli peringkat ketiga’ dalam kerjasama dengan PN, yang mana ia perlu berebut kerusi dan sumber dengan PAS dan Bersatu yang lebih dominan,” katanya kepada FMT.
PAS dan Bersatu menang 74 kerusi pada PRU lepas, manakala Umno sekadar 26.
Munggu lepas, bekas naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob memberi amaran tentang keretakan dalam ‘perkahwinan paksa’ dengan PH selepas pemimpin Umno dan DAP berselisih secara terbuka.
Umno dan DAP berselisih mengenai kedudukan Umno dalam kalangan pengundi Melayu dan tentang sokongan Umno kepada pengampunan diraja buat bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sedang dipenjarakan.
Azmin berkata kerajaan perpaduan akan bertahan selagi Presiden Umno, Zahid Hamidi, berkuasa dalam partinya.
Sementara itu, Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM percaya mungkin ada kebenaran di sebalik analogi ‘perkahwinan paksa’ yang Ismail gunakan itu, memandangkan Umno dan DAP sudah lama berseteru.
Kelangsungan kerajaan perpaduan akan bergantung kepada sama ada Umno boleh memenangi kerusi pada PRN di enam negeri kelak. Sekiranya parti itu memenangi kerusi, ia akan terus bersama kerajaan perpaduan.
“Bagaimanapun, kalau mereka tewas, mereka mungkin menggunakan strategi lain.”
Azeem berkata Umno akan kerugian sekiranya ia menarik diri daripada kerajaan perpaduan. “Namun mereka mungkin pertimbangkan semula pakatan itu di peringkat negeri atau persekutuan pada PRU akan datang.”