
Pada 1 Syawal 1942 (11 Okt), Yussof yang ketika itu berusia 13 tahun menunaikan solat sunat Aidilfitri di padang Kelab Rekreasi Cina di Jalan Burma di sini, bersama kira-kira 5,000 jemaah lain.
Setelah selesai solat dan mendengar khutbah Raya yang disampaikan imam, jemaah didatangi Gabenor Jepun Pulau Pinang, Shotaro Katayama, yang menyampaikan ucapan sarat dengan propaganda dalam bahasa Jepun.
“Selepas itu, semua jemaah yang menghadap ke arah Kaabah terpaksa berpusing ke arah Jepun dan melaungkan ‘Tenno Heika Banzai!’ (Hidup Maharaja) untuk menunjukkan kesetiaan kepada maharaja Jepun,” Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) itu memberitahu FMT.
Yussof berkata, kerajaan Jepun di Pulau Pinang melarang umat Islam bersolat di masjid semasa sambutan Aidilfitri, sebaliknya mengarahkan mereka bersolat di kawasan lapang seperti padang.
Penapisan, propaganda dan perintah berkurung
Khutbah Raya yang disampaikan imam akan diteliti bagi membendung penyebaran propaganda anti-Jepun, dengan pujian terhadap kerajaan Jepun perlu dimasukkan dalam teks khutbah.
Yussof berkata, jabatan agama Islam negara dikawal tentera Jepun, dengan pegawainya dilantik secara langsung oleh kerajaan Jepun.

Mercun dan meriam buluh dilarang, dengan perintah berkurung dikuatkuasakan dari tengah malam hingga 6 pagi.
Menjamu selera pada musim perayaan bukan pilihan kerana makanan terhad dan terpaksa dicatu dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kami dianggap bertuah jika dapat makan nasi sekali sehari. Ada kalanya kami terpaksa menggaul nasi dengan ubi kayu untuk mengisi perut,” katanya.
Orang Islam tidak berpuas hati dengan peraturan bagi Aidilfitri yang ditetapkan Jepun, tetapi mereka tahu tidak mampu melawan pegawai tentera Jepun yang terkenal dengan kekejamannya.
“Melawan mereka secara terbuka akan menyebabkan (kita) dipukul sentri Jepun. Atau ditahan, dan tak tahu nasib (orang yang ditahan). Kita tak tahu sama ada akan pulang atau tidak,” katanya.
Apabila tentera Jepun menyerah kalah pada September 1945, Yussof teringat bagaimana orang ramai bersorak ketika tentera berarak keluar dari Pulau Pinang.
“Komuniti Islam bersyukur selepas Jepun menyerah kalah kerana mereka akhirnya bebas menyambut Aidilfitri dengan cara sendiri setelah sekian lama.
“Penderitaan yang mereka alami semasa penjajahan Jepun membangkitkan semangat mereka untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.”