Cabaran berpuasa 20 jam di Norway

Cabaran berpuasa 20 jam di Norway

Siang berpanjangan atau isu sekitar aroma belacan, meraikan Ramadan dan Aidilfitri agak mencabar bagi keluarga Nor Azira Abdul Aziz.

Nor Azira (dua dari kiri) bersama keluarganya berpakaian tradisional ketika Ramadan. (Gambar Nor Azira Abdul Aziz)
PETALING JAYA:
Bagi rakyat Malaysia beragama Islam yang tinggal di luar negara, pengalaman berpuasa Ramadan adakalanya agak luar biasa seperti yang dialami Nor Azira Abdul Aziz yang menetap di Oslo, Norway sejak lebih 10 tahun lalu bersama suami dan dua anaknya.

Ini kerana di bumi yang mana waktu siang lebih panjang ketika musim panas, maka begitu juga tempoh berpuasa.

“Sejak 2012, saya menyambut Ramadan di Norway, dan setiap tahun tempoh berpuasa makin lama makin panjang,” kata Azira kepada FMT.

Anak jati Perak ini, yang berusia 39 tahun, berkata berpuasa di Norway agak mencabar, namun memberikan kepuasan setiap kali puasa disempurnakan.

“Paling lama saya dan keluarga berpuasa selama 20 jam. Kami berpuasa dari 2 pagi dan berbuka sekitar 10.45 malam.”

Selain tempoh berpuasa yang panjang, satu lagi cabaran bagi rakyat Malaysia di sana ialah aroma makanan tradisional kita tidak semestinya disukai ramai.

Nor Azira berkata, rakyat Malaysia perlu berhati-hati ketika memasak menggunakan bahan beraroma kuat seperti belacan. (Gambar Nor Azira Abdul Aziz)

“Bayangkan anda diusir dari rumah kerana masak belacan!” kata Azira.

Kedengaran seperti kelakar, namun aroma belacan dianggap gangguan di negara Eropah tertentu.

Bahkan, bukan aroma belacan sahaja yang boleh mengundang masalah. “Seorang kawan saya diberi amaran oleh tuan rumahnya kerana menumbuk cili di atas lantai di pangsapurinya.”

“Jiran bawah rumahnya marah.”

Gambar suasana 3 pagi di luar pangsapuri Nor Azira pada Jun. (Gambar Nor Azira Abdul Aziz)

Azira bagaimanapun bernasib baik kerana tuan rumahnya baik hati dan bertolak ansur, lantas beliau tidak menghadapi banyak masalah ketika membuat persiapan raya.

“Walaupun beribu batu jauh dari kampung halaman, saya mesti masak makanan tradisi,” katanya, yang menyediakan rendang, daging masak hitam, nasi kerabu, dan asam pedas.

Azira berkata kita mesti memanfaatkan sumber yang ada dan berfikiran positif sekiranya mahu bergembira di negara orang. “Contohnya, bunga kantan tak dijual di Norway. Tanyalah sesiapa pun di Malaysia, mereka akan kata asam pedas tak sempurna tanpa bunga kantan.”

Nor Azira bersama rakan taulan dan ahli keluarga di rumah terbuka mereka di Oslo. (Gambar Nor Azira Abdul Aziz)

Keluarga Azira menerima keadaan seadanya dan menikmati makanan itu kerana ia mengingatkan mereka kepada kampung halaman.

“Sikap kami ialah jangan terbeban sangat dengan hal sebegini. Jika ramuan tak cukup dan rasanya tak sama, tidak apalah. Yang penting kita gembira.”

Azira dan keluarganya berpindah ke Norway selepas suaminya menyahut tawaran kerja di sana. Mengenang kampung halaman, beliau berkata: “Ramadan di Malaysia meriah kerana ada bazar, boleh beli kuih-muih disukai, berbuka puasa bersama keluarga. Saya rindu kemeriahan itu.”

Katanya lagi, sambutan Aidilfitri di Malaysia juga tidak sama dengan kebanyakan rantau lain. Di Malaysia, sambutan sebenar bermula pada 1 Syawal dan boleh berlanjutan sehingga sebulan, kerana amalan balik kampung dan rumah terbuka.

“Di Asia Barat dan Norway, Ramadan diraikan lebih besar berbanding raya,” katanya.

Di sebalik perbezaan itu, Azira dan keluarga beraya dengan amalan Malaysia.

“Kami buat rumah terbuka setiap tahun,” katanya, dan menambah rakyat Malaysia lain turut memberikan sokongan.

“Walaupun komuniti kita kecil, rasa seronok dapat meraikan hari istimewa ini bersama orang yang mengingatkan kita tentang kampung halaman.”

Tahun ini, Aidilfitri diraikan di Kedutaan Indonesia, memandangkan Kedutaan Malaysia terdekat terletak di ibu negara lain, iaitu Stockholm di Sweden, yang mana perjalanan ke sana mengambil masa tujuh jam.

Tahun ini, Azira sekali lagi merancang mengadakan rumah terbuka, dan hatinya merindui Malaysia.

“Saya dan keluarga amat bersyukur dengan rezeki ini, tapi kami sentiasa rindu kampung halaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.