
Menurut laporan Australian Financial Review (AFR), kes Lynas dijadualkan didengar pada 28 April.
Kes itu dilihat sebagai percubaan terakhir syarikat itu memastikan ia dapat meneruskan operasi di kilangnya di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai.
Pada 14 Feb, lesen operasi Lynas di Malaysia diperbaharui selama tiga tahun tanpa perubahan dalam syarat pelesenan pada Mac 2020 yang melarang pengimportan dan pemprosesan nadir bumi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang kemudian berkata, kerajaan mungkin membatalkan lesen syarikat Australia itu jika ia gagal mematuhi syarat tersebut.
Chang berkata, tiada siapa yang berhak “menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan” di Malaysia.
Lynas telah berulang kali mempertahankan bahawa kilangnya selamat dan memberikan amaran bahawa pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia.
Dalam laporan AFR, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze dipetik sebagai berkata bahawa kilangnya di Gebeng akan terus beroperasi sehingga larangan itu berkuat kuasa.
“Kami akan menjalankan operasi fasiliti retak dan larut lesap itu dalam apa jua keadaan sehingga tengah malam 30 Jun,” katanya.
Beliau berkata, kilang itu akan ditutup selama tiga bulan mulai pertengahan Julai sehingga bekalan bahan mentah terjamin yang mematuhi undang-undang Malaysia dapat dihasilkan di kilang Kalgoorlie Lynas di Perth.
Bahan mentah itu kemudiannya akan dihantar ke Malaysia untuk pemprosesan peringkat akhir.
Nadir bumi digunakan untuk membuat peralatan elektronik, bateri, magnet super dan peralatan canggih lain.