
Menterinya, Loke Siew Fook berkata, beliau diberi mandat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet lepas untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.
“Pihak kementerian juga cari jalan dan inisiatif menyelesaikan masalah ini, bukan saja untuk sambutan Hari Raya, malah perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.
“Malah, hampir dua bulan lalu pelbagai perancangan dan perbincangan dibuat, umpamanya tambah kuota tiket sejak Mac lepas bagi mengatasi masalah ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 malam tadi.
Beliau berkata, kementeriannya sedang merangka inisiatif bagi membantu pelajar yang ingin pulang, bukan saja semasa musim perayaan, tetapi juga cuti semester.
Kumpulan sasaran bagi inisiatif itu ialah pelajar di institut pengajian tinggi awam dan mereka akan dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“(Mekanisme) ini juga sedang kita perincikan, tetapi yang utama, kita sudah mengenal pasti dan dapatkan data pelajar dari Sabah serta Sarawak yang menuntut di Semenanjung.
“Begitu juga pelajar Semenanjung yang menuntut di dua negeri itu. Kumpulan ini ada lebih 50,000 orang dan kita sudah sasarkan mereka ini bakal dibantu.”