
Michel, 50, menjadi tumpuan dalam komplot meyakinkan pentadbiran Presiden Donald Trump agar menghentikan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB oleh Low, menurut hujah pendakwa raya Sean Mulryne pada Khamis.
Pada masa yang sama, Michel menjadu ejen China dalam usaha mengekstradisi Guo Wengui, kata Mulryne.
“Kes ini mengenai pengaruh asing, ia mengenai wang asing, ia mengenai ketamakan,” katanya dalam hujah penutup yang menyusuli empat minggu pemberian keterangan pada perbicaraan kegiatan lobi haram Michel di mahkamah persekutuan Washington.
Michel, ahli kumpulan hip hop Fugees, dituduh gagal memberitahu AS tentang kegiatannya melobi saluran belakang untuk Low. Daripada US$100 juta yang dibayar Low untuk kegiatan melobi itu, Michel menyimpan lebih USD70 juta, kata pendakwa raya.
Pendakwa turut menuduh Michel menyalurkan wang Low sebanyak USD2 juta ke dalam kempen Presiden Barack Obama pada 2012 secara haram dan mengganggu saksi. Untuk segala usaha itu, Michel mengaut sekurang-kurangnya USD18 juta, menurut AS.
Projek hiburan
Dalam keterangan pembelaannya minggu ini, Michel memberitahu juri dia tidak pernah bertindak bagi pihak China, dan dia tidak tahu perlu memaklumkan AS bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA).
Katanya, USD100 juta yang diterimanya datang secara tidak langsung daripada Low, seperti yang dikatakan pendakwa, tetapi sebagai pelaburan untuk projek hiburan.
Dia mengaku membayar rakan-rakannya untuk menderma kepada kempen Obama, tetapi dia melakukannya menggunakan wang sendiri, bukan menggunakan wang Low.
Tambahnya, Low memberikannya USD20 juta supaya dapat bergambar dengan Obama.
Peguam bela David Kenner, dalam rumusannya pada Khamis berkata, Michel tidak cuba mempengaruhi kerajaan AS.
“Pada 2012, Jho Low mahu bergambar dengan Obama. Itulah keseluruhan kes ini,” kata Kenner.
Pada perbicaraan, pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio, yang pernah berparti dengan Low, memberikan keterangan. Menurut DiCaprio, Low memberitahu dia mahu memberikan antara USD20 juta hingga USD30 juta kepada Parti Demokrat pada 2012. Low melabur USD100 juta dalam filem “The Wolf of Wall Street”, yang dibintangi DiCaprio.
Menurut Kenner, keterangan DiCaprio menunjukkan bahawa pelakon itu bergaul selama bertahun-tahun dengan Low dan tidak pernah memeriksa latar belakang mahupun kewarganegaraannya.
Oleh itu, Michel juga tidak bertanggungjawab memeriksa Low, kata peguam bela itu.
“Adakah itu suatu beban yang perlu dipikul oleh seorang rakyat Amerika sebelum mereka mula bergaul dengan seseorang?” soal Kenner.
Pada 2017, Mulryne berkata, Michel bekerjasama dengan pengkomplot lain untuk cuba melenyapkan tuntutan rampasan sivil AS terhadap Low dan menggalakkan Guo diusir dari AS.
Pengkomplot yang terlibat termasuk bekas pengumpul dana bagi Trump Elliott Broidy; bekas peguam Jabatan Kehakiman George Higginbotham, yang turut bertindak sebagai peguam Michel; dan ahli perniagaan Hawaii Nickie Lum Davis.
Ketiga-tiganya mengaku bersalah tetapi Trump memberikan pengampunan buat Broidy. Higginbotham dan Broidy memberikan keterangan sebagai saksi kerajaan.
Kenner memberitahu juri bahawa Broidy dan Higginbotham tidak memberikan keterangan bahawa mereka telah memberitahu Michel dia mempunyai kewajipan untuk mendaftar sebagai ejen asing.
“Michel tidak tahu dia perlu mendaftar bawah FARA, (dan) tiada siapa memberitahunya,” kata Kenner.
Perjalanan ke Asia
Mulryne menceritakan bahawa Michel pergi ke Asia beberapa kali untuk membincangkan matlamat China dan telah bertemu dengan pegawai keselamatan China di Hotel Four Seasons, Manhattan. Dia juga meminta Higginbotham menyampaikan mesej kepada kedutaan China di Washington, kata Mulryne.
“Michel memberitahu bahawa dia hanya seorang utusan, cuba mengecilkan atau meminimumkan peranannya,” kata Mulryne.
Dalam persekitaran itu, katanya, “menjadi utusan bukanlah peranan kecil; ia peranan utama”.
Pendakwa turut berhujah bahawa Michel berbohong kepada bank mengenai sumber dan tujuan puluhan juta dolar yang diterimanya daripada Low.
Katanya, seorang pegawai bank Morgan Stanley memberikan keterangan bahawa Michel memberitahunya, jutaan dolar dalam pegangannya datang daripada pelabur kaya di atas bot di Asia. Pegawai bank itu khuatir wang itu diubah secara haram lalu menutup akaun tersebut.
Michel dituduh bersama Low, yang dianggap pelarian dan dipercayai berada di China. Selain daripada tuduhan FARA dan ejen China, dia didakwa kerana mengganggu saksi.
Dia juga didakwa bersubahat menjadi ejen asing tidak berdaftar dan mengubah wang secara haram.
Pendakwa menuduh Michel menggunakan telefon pakai buang pada 2019 untuk menghantar mesej teks menakutkan saksi. Dalam rumusannya, Kenner berkata, kerajaan tidak menawarkan keterangan bahawa Michel telah membeli telefon itu.