
Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin, berkata seramai 15 individu terdiri daripada 11 lelaki, seorang wanita warga Taiwan serta tiga wanita warga China berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan itu.
“Serbuan ini dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu, sindiket ini membeli mata wang digital USDT menggunakan hasil daripada aktiviti penipuan dan memindahkan mata wang digital USDT ke akaun e-wallet yang diarahkan.
“Hasil serbuan juga telah menjumpai satu buku mempunyai beberapa muka surat yang ditulis dalam bahasa Cina dan dipercayai adalah skrip bagi penipuan ‘phone scam’,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, polis turut merampas tujuh buah komputer riba, 19 telefon bimbit, lapan unit modem, sembilan pasport warganegara asing, dua unit pendrive, dua unit iPad, dan wang tunai RM2,745.00 serta USD200.
Katanya, Jabatan Peguam Negara memberi arahan untuk mendakwa semua suspek mengikut Seksyen 120b (2) Kanun Keseksaan iaitu pakat jahat jenayah.
“Semua ditahan dituduh pada hari ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah dan direman di penjara Sungai Buloh, Selangor sehingga tarikh sebutan semula pada 19 Mei 2023.
“Mereka yang ditahan telah direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan dan seksyen 511 kanun keseksaan,” katanya.