Rumah terbuka Aidilfitri bersama PM di Kedah, Kelantan, Terengganu

Rumah terbuka Aidilfitri bersama PM di Kedah, Kelantan, Terengganu

Program rumah terbuka di Kedah akan diadakan pada 29 April, sementara Kelantan dan Terengganu masing-masing 12 Mei dan 13 Mei.

Program Rumah Terbuka Aidilfitri bersama PM tahun ini akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PETALING JAYA:
Buat julung kalinya, program Rumah Terbuka Aidilfitri bersama perdana menteri tidak akan diadakan di Kompleks Seri Perdana tahun ini, sebaliknya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), program rumah terbuka di Kedah akan diadakan pada 29 April di Hotel Raia, Alor Setar, dari 10 pagi hingga 2 petang,

Program di Kelantan pula akan diadakan pada 12 Mei di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula 7 malam hingga 10.30 malam.

Di Terengganu, program akan diadakan pada 13 Mei di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), juga dari 7 malam hingga 10.30 malam.

“Program di Kedah diangkat sebagai program berstatus nasional dengan jumlah kehadiran pengunjung disasarkan seramai 25,000 orang. Manakala sasaran di negeri lain pula adalah seramai 15,000 orang di setiap lokasi,” katanya.

Majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri itu dianjurkan oleh JPM melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) selaku penyelaras utama, dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah.

“Program ini akan dihadiri oleh perdana menteri sebagai tetamu jemputan utama bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat.

“Menteri besar atau ketua menteri juga akan dijemput selain ahli Jemaah Menteri persekutuan,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri turut dijangka menghadiri tiga lagi program rumah terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.