Polis rakam keterangan 2 individu berkait mayat dalam bagasi

Polis rakam keterangan 2 individu berkait mayat dalam bagasi

Polis berkata setakat ini tiada petunjuk jelas diperoleh bagi memudahkan siasatan kes itu.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya berharap mendapat petunjuk baharu dalam laporan bedah siasat berhubung penemuan mayat wanita dalam bagasi, baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merakam keterangan dua individu berhubung penemuan mayat wanita dalam bagasi yang ditinggalkan dekat perhentian bas di Kulai, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata dua individu itu adalah pemberi maklumat dan orang yang membuat laporan polis mengenai penemuan berkenaan.

Katanya, pihaknya berharap mendapat petunjuk baharu dalam laporan bedah siasat oleh pihak hospital dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita tidak mendapat petunjuk yang jelas untuk memudahkan siasatan dijalankan, tambahan pula cap jari mangsa itu tidak dapat dikesan.

“Apa yang kita tahu ketika ini, mangsa tidak mempunyai bekas suntikan Bacillus Calmette-gurin (BCG) di lengan, ada kemungkinan mangsa warga asing, (tapi) kita belum dapat tentukan secara tepat lagi.

“Kita hanya boleh menunggu laporan penuh bedah siasat, cepat atau lambat itu bergantung kepada pihak hospital,” katanya selepas majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa IPK Johor 2023, menurut Harian Metro.

Pada 12 April lalu, polis menerima maklumat penemuan mayat wanita dianggarkan berusia 25 tahun, yang dipotong kepada beberapa bahagian dan dimasukkan ke dalam bagasi.

Pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.