Amah dipaksa kerja 16 jam sehari, duta Indonesia mahu keadilan

Amah dipaksa kerja 16 jam sehari, duta Indonesia mahu keadilan

Wanita itu dilaporkan dipaksa makan makanan tidak halal dan tidak dibenarkan solat atau berpuasa.

Pegawai Jabatan Tenaga Kerja menyoal siasat wanita Indonesia itu ketika lawatan ke sebuah rumah di Port Dickson pada Isnin. (Gambar facebook)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Indonesia akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menghantar seorang wanita warganegara itu ke Malaysia secara haram, di mana dia dipaksa bekerja 16 jam sehari di beberapa buah rumah tanpa gaji.

Duta Besar Indonesia Hermono memberitahu FMT, wanita itu juga dipaksa makan makanan tidak halal dan tidak dibenarkan solat atau berpuasa.

Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan menyelamatkan wanita itu di sebuah rumah di Port Dickson pada Isnin lalu selepas menerima aduan daripada Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Wanita berusia 4O tahun itu kini menunggu proses untuk dihantar pulang.

“Kami berharap wanita itu dapat dihantar pulang secepat mungkin sebagai mangsa penyeludupan, dan kami akan mengambil tindakan terhadap penyeludup di Indonesia,” kata Hermono.

“Kedutaan menerima aduan dari wanita itu melalui talian hotline pada 28 Mac, dan selepas mengumpul maklumat mengenai lokasinya, kami menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Kami pernah menerima kes serupa sebelum ini di mana pekerja domestik diambil bekerja secara haram sebagai tukang cuci.

“Kebanyakan perniagaan ini dijalankan oleh individu, dan bukannya syarikat yang menawarkan perkhidmatan mencuci,” katanya yang menambah kebanyakan pekerja tiada dokumen dan diambil bekerja menerusi media sosial.

Hermono yang berterima kasih atas tindakan pantas Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan berkata, beliau marah dengan laporan bahawa wanita itu dipaksa makan makanan tidak halal dan tidak dibenarkan solat atau berpuasa.

“Ini langsung tidak dapat diterima,” katanya.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri Roslan Bahari berkata mangsa bekerja di rumah berkenaan sejak enam bulan lepas dan tidak dibayar gaji untuk Nov dan Dis atas alasan membayar balik kos membawa mangsa masuk ke negara ini .

Susulan itu, majikan mangsa berusia 47 tahun dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2022).

Mangsa kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Kuala Lumpur sementara menunggu untuk dihantar pulang. Hermono berkata, beliau belum bertemu wanita itu tetapi beliau tidak terkejut sekiranya mangsa mahu pulang ke Indonesia daripada tinggal dan bekerja secara sah di negara ini.

“Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, mangsa yang ada pengalaman buruk akan mahu pulang. Mereka tidak mahu mimpi ngeri itu berulang lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.