Cuti umum tambahan akan jejas perniagaan, kata ketua kumpulan PKS

Cuti umum tambahan akan jejas perniagaan, kata ketua kumpulan PKS

Pemenuhan pesanan, kewajipan kontrak, penghantaran dan logistik perniagaan bergantung kepada keupayaan merancang lebih awal, bukan pada saat akhir, kata pengerusi Samenta.

MEF sebelum ini menganggarkan setiap cuti umum menyebabkan sektor swasta kehilangan produktiviti bernilai hampir RM1 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cuti umum tambahan bagi Hari Raya Aidilfitri akan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit atau penalti kelewatan, kata ketua sebuah kumpulan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng berkata, walaupun majikan lazimnya menggalakkan pekerja meraikan perayaan, cuti umum bergaji wajib “tidak perlu”.

Ng berkata, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai paling banyak cuti umum, dan dalam perbincangan dengan pelabur, majikan lazim bergurau berharap Malaysia tidak menang perlawanan bola sepak kerana ia mungkin bermakna satu lagi cuti umum berbayar.

“Ini amalan tidak sihat yang mesti dihentikan,” katanya kepada FMT.

“Jika perayaan tertentu cukup penting dan memerlukan cuti umum, ia boleh dirancang beberapa bulan atau tahun sebelumnya, diluluskan oleh Jemaah Menteri, dan dimaklumkan kepada industri.”

Beliau berkata pemenuhan pesanan, kewajipan kontrak, penghantaran dan logistik perniagaan bergantung kepada keupayaan mereka merancang lebih awal.

Ng memberikan senario di mana sebuah restoran telah memesan barang mudah rosak untuk dihantar pada hari dianggap hari bekerja, tetapi kemudian menjadi cuti umum.

“Dengan perkhidmatan penghantaran dihentikan, barangan itu terbazir. Siapa yang patut menanggung kos dalam kes sedemikian? Pemilik restoran, pembekal atau kerajaan?”

Pendapat Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong Ng, senada dengan Ng, menyatakan bahawa lebih banyak notis perlu diberikan apabila mengumumkan cuti umum.

“Cuti umum di Malaysia sudah banyak. Jika kita teruskan (begini), ia akan mula menjejaskan pendapatan kita,” katanya.

“Kami harap ini bukan sesuatu yang akan diamalkan oleh kerajaan berulang kali kerana ia tidak wajar dilakukan pada saat akhir.”

Pada Rabu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengisytiharkan cuti umum tambahan pada Isnin depan jika Aidilfitri jatuh pada Jumaat (21 Apr).

Bagaimanapun, jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan ditetapkan pada Jumaat, manakala cuti umum Aidilfitri jatuh pada Isnin.

Dalam wawancara televisyen semalam, Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, cuti umum tambahan itu akan menyebabkan perniagaannya kerugian RM500,000.

Pada 2019, Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan bahawa setiap cuti umum di Malaysia menyebabkan sektor swasta kehilangan produktiviti bernilai hampir RM1 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.