
Ini susulan empat kekosongan di mahkamah berkenaan, termasuk yang terbaharu menyusuli persaraan Hakim Vernon Ong pada awal bulan ini.
“Sekurang-kurangnya dua kekosongan akan diisi, malah mungkin juga keempat-empat jawatan itu,” kata sumber kepada FMT.
Buat masa ini, terdapat 11 hakim Mahkamah Tinggi mendengar rayuan kes jenayah dan sivil, selain usul dan permohonan lain.
Ini termasuk Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Zabidin Diah serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Rahman Sebli.
Sumber berkata, Hakim Abu Bakar Jais antara yang disebut-sebut untuk kenaikan itu memandangkan beliau beberapa kali dijemput menyertai panel Mahkamah Persekutuan.
“Seorang lagi ialah Hakim Lee Swee Seng yang diuar-uarkan menggantikan Ong,” kata sumber itu.
Dua lagi kekosongan berkemungkinan diisi antara empat hakim paling senior di Mahkamah Rayuan, iaitu Yaacob Sam, Abdul Karim Abdul Jalil, Hanipah Farikullah dan Kamaludin Said.
Sumber itu berkata, dengan pengisian semua jawatan itu, Tengku Maimun akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan panel hakim yang juga perlu menyemak semula rayuan hukuman mati melibatkan 800 pesalah.
Ini selepas Rang Undang-undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Undang-undang baharu itu memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk secara retrospektif menyemak semula hukuman mati mandatori yang dijatuhi untuk jenayah seperti bunuh, mengedar dadah dan memiliki senjata api.
Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri, melantik hakim berkenaan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. Kriteria pemilihan termasuk integriti, kecekapan, pengalaman dan kemahiran menulis.
“Faktor senioriti juga akan dipertimbangkan bagi kenaikan ke mahkamah tertinggi,” kata seorang bekas ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang enggan dinamakan.