Rumah ‘raya’ tak siap, RM200,000 lesap diperdaya kontraktor

Rumah ‘raya’ tak siap, RM200,000 lesap diperdaya kontraktor

Mangsa secara berperingkat membayar sejumlah wang itu bagi pembinaan kediaman bernilai RM400,000.

Mangsa mula curiga selepas mendapati kontraktor hanya melakukan kerja perobohan dan dibiarkan terbengkalai sehingga Disember tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bukan sahaja tidak dapat beraya di rumah baharu, malah wang pendahuluan lebih RM200,000 bagi pembinaan kediaman sebuah keluarga dikatakan “lesap” akibat diperdaya kontraktor.

Kediaman impian itu bukan sahaja tidak disiapkan, malah tapak rumah pusaka itu di Taman Seri Andalan itu dibiarkan terbengkalai, selain pelan binaan tidak pernah dihantar untuk kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ahli keluarga mangsa, Zainal Dzul Hafiz Zainal, 35, berkata syarikat terbabit dilantik untuk membina semula rumah pusaka dua tingkat pada 1 Oktober tahun lalu melibatkan kos lebih RM400,000.

“Kami sekeluarga membayar wang berjumlah RM205,800 secara berperingkat kepada syarikat itu dalam tempoh sebulan. Namun, kami mula curiga kerana mereka hanya melakukan kerja perobohan dan dibiarkan terbengkalai sehingga Disember tahun lalu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Katanya, dia turut terkejut apabila mendapati kontraktor itu tidak pernah menghantar pelan binaan untuk kelulusan MPK.

“Selain itu, MPK menampal notis saman memaklumkan rumah berkenaan diroboh dan melakukan pengubahsuaian tanpa sebarang kelulusan. Kontraktor itu sebelum ini memberi pelbagai alasan seperti faktor kekurangan pekerja sehingga menghentikan pembinaan tersebut,” katanya.

Zainal berkata, sehubungan itu dia membuat laporan di IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, adik iparnya, Mohd Azahari Ahmad, 33, mendakwa dia turut menjadi mangsa kontraktor sama melibatkan pembinaan rumah baharu di Kampung Rantau Panjang di sini, sejak Ogos tahun lalu.

“Saya sudah membayar RM88,000 bagi membina kediaman satu tingkat di tanah pusaka keluarga itu. Namun, rumah pertama saya yang dijadualkan siap pada Februari lalu masih gagal disiapkan dan terbiar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.