
Anwar berkata, cuti tambahan itu bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk menyambut Hari Raya.
“Sekiranya 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April, maka kerajaan menetapkan Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan.
“Bagaimanapun, sekiranya 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka kerajaan menetapkan Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan,” katanya pada sidang media khas.
Pemberian hari cuti tambahan itu adalah berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing,” tambahnya.
Pada masa sama, perdana menteri turut mengumumkan pengecualian tol selama empat hari, iaitu dari 19 April hingga 21 April (Rabu hingga Jumaat), dan pada 24 April (Isnin depan).
Pengecualian tol ini meliputi 33 lebuh raya dan semua kelas kenderaan, katanya.
Sementara itu, turut diumumkan hari ini bahawa polis akan memberikan kadar khas bayaran saman, iaitu RM50, bermula 21 April hingga 21 Mei, bagi semua saman trafik polis membabitkan kesalahan tahun lepas dan sebelumnya.
“Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada 2023,” kata perdana menteri.
Tambahnya, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya, polis akan melaksanakan Op Lancar pada 18 and 19 April, dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April selama tujuh hari, katanya.