Penyanyi rap cuma mahu bina semula reputasi, mahkamah diberitahu

Penyanyi rap cuma mahu bina semula reputasi, mahkamah diberitahu

Peguam berkata Prakazrel 'Pras' Michel berada dalam kalangan yang mengenali Jho Low tetapi tidak terlibat sebarang aktiviti rahsia.

Prakazrel ‘Pras’ Michel dituduh mengaut keuntungan daripada skim penyelewengan didakwa didalangi Jho Low, dan kempen pengaruh kerajaan China yang bertujuan menghantar pulang pembangkang Guo Wengui.
PETALING JAYA:
Seorang penyanyi rap daripada kumpulan The Fugees yang dibicarakan dalam kes dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, cuba membina semula reputasinya ketika menyertai arena politik dan bukan melanggar undang-undang, kata peguamnya kepada mahkamah di Washington semalam.

Peguam bela David Kenner, berkata Prakazrel “Pras” Michel, yang menjadi terkenal pada 1990-an sebagai sebahagian daripada kumpulan sensasi hip-hop The Fugees, sedang mencari haluan baharu selepas kumpulan itu berpecah.

Menurut Associated Press, Kenner berkata Michel bergaul dengan orang yang boleh membantunya beralih ke arena politik dan akhirnya berada dalam
kalangan yang mengenali Low tetapi tidak terlibat sebarang aktiviti rahsia.

“Tidak ada perjanjian untuk melakukan apa-apa dengan cara yang menyalahi undang-undang,” kata Kenner dipetik sebagai berkata.

Michel dituduh mengaut keuntungan daripada skim penyelewengan yang didakwa didalangi Low, dan daripada kempen pengaruh kerajaan China yang bertujuan menghantar pulang pembangkang Guo Wengui.

Dia menghadapi 11 pertuduhan jenayah atas apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai tiga skim lobi berasingan untuk mempengaruhi pentadbiran presiden ketika itu, Barack Obama dan Donald Trump. Michel menafikan dakwaan tersebut.

The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris 1996 mereka “The Score.” Tetapi, menjelang 2012, pendakwa raya berkata, Michel sangat memerlukan wang tunai.

Pendakwa raya berkata Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira USD2 juta daripada Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012 dan menyembunyikan sumber dana itu. Undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada menderma kepada kempen AS.

Mereka berkata, Michel kemudian melancarkan kempen pengaruh haram untuk memujuk pentadbiran Trump supaya menghentikan siasatannya ke atas Low.

Michel dan konspirator lain juga dituduh melobi pentadbiran Trump atas arahan China untuk mengembalikan Guo ke China.

Pendakwa raya berkata Michel dibayar USD70 juta untuk kerjanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.