Kontraktor bayar tunggakan gaji RM3.8 juta selepas pergaduhan di tapak binaan

Kontraktor bayar tunggakan gaji RM3.8 juta selepas pergaduhan di tapak binaan

Tunggakan gaji itu dibayar pada Isnin, seorang menteri Sabah mengesahkannya, dua hari selepas tiga lelaki diserang pekerja berang.

Tiga lelaki dilaporkan diserang selepas pekerja binaan di sebuah tapak projek di Kota Kinabalu berang gaji lewat dibayar. (Gambar tangkapan layar)
PETALING JAYA:
Tunggakan gaji berjumlah RM3.8 juta sudah dibayar kepada 600 pekerja binaan di sebuah tapak kilang di Kota Kinabalu, seorang menteri Sabah mengesahkannya, dua hari selepas pergaduhan berlaku di tapak itu.

Phoong Jin Zhe, menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan negeri, berkata wang itu dibayar 6 petang semalam.

“Mungkin sesetengah daripadanya lewat menerimanya, tetapi kami akan pantau,” katanya kepada FMT.

Dalam klip video tular di media sosial, beberapa pekerja binaan dilihat menyerang tiga lelaki di pejabat Shinsung E&G, dalam tapak projek SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Pergaduhan itu dilaporkan berlaku Sabtu lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, kontraktor akan membayar gaji tertunggak pada 17 dan 18 April, selepas persetujuan dicapai dengan Jabatan Tenaga Kerja Sabah.

“Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan. Maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac. Jadi, berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea,” katanya menurut Harian Metro.

Belia berkata, pegawai JTK ke tapak binaan semalam dan hari ini untuk memantau pembayaran gaji itu dan mendengar jika ada lagi aduan pekerja lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.