Jangan guna WiFi percuma di masjid tengok Netflix, pesan MB Johor

Jangan guna WiFi percuma di masjid tengok Netflix, pesan MB Johor

Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu untuk memberi kemudahan kepada jemaah, termasuk bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan.

Onn Hafiz Ghazi berharap kemudahan WiFi percuma dapat menarik lebih ramai orang kembali mendekati masjid, bukan saja mengerjakan solat, tetapi sebagai tempat rujukan menuntut ilmu pengetahuan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor berharap kemudahan WiFi percuma di masjid dan surau di negeri itu dapat dimanfaatkan sebaiknya, terutama oleh golongan muda.

Menteri Besarnya, Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu disediakan untuk memberi kemudahan kepada jemaah, termasuk orang muda Johor mendapat akses Internet bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut berharap pelaksanaan itu dapat menarik lebih ramai masyarakat kembali mendekati masjid, bukan saja untuk mengerjakan solat, tetapi sebagai tempat rujukan menuntut ilmu pengetahuan menerusi kemudahan WiFi disediakan.

“Harap anak-anak muda dapat memanfaatkannya sebaik mungkin, mungkin di sekolah tiada WiFi, bolehlah pergi ke masjid dan gunakan perkhidmatan ini secara percuma. Usaha WiFikan masjid ini bukan satu dua, tetapi semua masjid.

“Bagaimanapun, harap jangan ada gunakan perkhidmatan ini untuk perkara memudaratkan. Tok Kadi kena monitor. Jangan guna untuk (perkhidmatan penstriman) Netflix,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Onn Hafiz berkata, pemasangan talian WiFi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di 127 masjid dan 33 surau di Johor melibatkan kos RM470,404.80, meliputi kos sewaan selama 12 bulan, pemasangan serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sehingga Rabu lepas, jatanya, sebahagian ahli kariah daripada 19 masjid dan surau mendapat manfaat itu apabila kerja pemasangan disiapkan.

“Kita jangkakan 800 masjid dan surau di negeri ini bakal memperoleh kemudahan tersebut dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam di Kluang dan melancarkan inisiatif WiFi masjid dan surau peringkat negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.