Batik Air tuntut AirAsia Super App padam produk dijual dalam aplikasi

Batik Air tuntut AirAsia Super App padam produk dijual dalam aplikasi

Hari ini, MAG memfailkan injunksi supaya aplikasi itu menghentikan menjual tiket Malaysia Airlines.

Batik Air Malaysia bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia Super App jika gagal memadam produk dan perkhidmatan penerbangan dijual dalam aplikasi itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Batik Air Malaysia menuntut AirAsia Super App segera mengeluarkan atau memadam semua produk dan perkhidmatannya yang dijual tanpa kebenarannya dalam aplikasi itu.

Menurut Batik Air, AirAsia Super App bertindak dengan cara tidak dibenarkan dengan menjual perkhidmatan penerbangan dalam aplikasi itu.

“Batik Air Malaysia tidak pernah memberikan sebarang persetujuan kepada AirAsia Super App untuk menjual dan memasukkan semua perkhidmatan syarikat penerbangan dalam Kumpulan Lion Air dan Super Jet Air dalam aplikasi terbabit,” katanya.

“Sekiranya AirAsia Super App gagal mengambil tindakan untuk mengalih keluar produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan itu dengan kadar segera, kami akan mendapatkan penyelesaian undang-undang berdasarkan undang-undang Malaysia

“Kami menasihatkan orang ramai untuk membuat semua tempahan penerbangan Batik Air di laman web rasmiwww.batikair.com.my atau melalui ejen pelancongan kami yang sah” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Bernama melaporkan, Malaysian Aviation Group (MAG) mengesahkan injunksi difailkan untuk menghentikan AirAsia daripada menjual tiket Malaysia Airlines.

Pengarah Urusan Kumpulan, Izham Ismail, dipetik sebagai berkata MAG telah memfailkan injunksi itu berikutan ia tidak dapat mencapai persetujuan komersial sebelum ini, dan AirAsia terus menjual inventori kumpulan itu.

Katanya, injunksi itu telah difailkan pada 2022 dan perbicaraan dijadualkan pada Ogos tahun ini.

Izham berkata, AirAsia telah membeli tempat duduk daripada agregator dan ‘consolidator’ walaupun syarikat penerbangan tambang murah itu telah diiktiraf secara sah sebagai agensi pelancongan dalam talian (OTA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.