2,000 permohonan lesen PSV tertunggak dijangka selesai selepas Aidilfitri, kata Loke

2,000 permohonan lesen PSV tertunggak dijangka selesai selepas Aidilfitri, kata Loke

Permohonan tertangguh di sekitar Lembah Klang itu adalah daripada pemandu Grab yang mendaftar melalui E-hailing Operator, kata menteri pengangkutan.

Dalam majlis di pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini, Loke Siew Fook menyerahkan lesen vokasional PSV kepada 300 pemandu Grab, termasuk 210 orang kurang upaya.
PUTRAJAYA:
Hampir 2,000 permohonan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang tertangguh di sekitar Lembah Klang dijangka akan diselesaikan dalam tempoh seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, permohonan tertangguh itu adalah daripada pemandu Grab yang mendaftar melalui E-hailing Operator (EHO).

“Dalam seminggu (selepas Aidilfitri), boleh selesai,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan lesen vokasional PSV kepada 300 orang calon pemandu e-panggilan Grab Malaysia.

Dalam pada itu, Loke berkata, Grab pada masa ini sedang mengumpul lebih banyak data untuk Kementerian Pengangkutan bagi menyelesaikan tunggakan permohonan lesen PSV.

Beliau juga mengalu-alukan pengendali e-panggilan lain untuk melakukan perkara yang sama.

Dalam majlis hari ini, Loke menyerahkan lesen vokasional PSV kepada 300 pemandu Grab, termasuk 210 orang kurang upaya (OKU), di pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.

Kumpulan ini ialah kumpulan pertama pemandu Grab yang menerima lesen PSV selepas kerajaan memansuhkan ujian teori bagi pengambilan lesen vokasional untuk kategori PSV dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) pada 10 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Loke memaklumkan bahawa tiada kemas kini mengenai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), malah tiada mesyuarat diadakan untuk membincangkannya.

Bulan lepas, Loke berkata, kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Nasional (NASP) berhubung cadangan pembangunan KXP masih belum muktamad.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk membina lapangan terbang bagi projek Aerotropolis Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.