Tetap 65% cukai minimum produk tembakau, kerajaan diberitahu

Tetap 65% cukai minimum produk tembakau, kerajaan diberitahu

Akademi Profesor Malaysia mencadangkan cukai rokok dan vape yang tinggi untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

Ketika ini cukai rokok di Malaysia adalah 58.6% daripada harga runcit. (Gambar Bernama)
BANGI:
Beberapa kumpulan ahli akademik menuntut kerajaan mengenakan cukai minimum 65% untuk produk tembakau bagi mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

Akademi Profesor Malaysia (APM), menerusi jabatan kesihatan dan perubatan, mencadangkan kerajaan mengenakan cukai 65% supaya hampir dengan syor dicadang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO mencadangkan cukai minimum 75% untuk harga runcit rokok. Ketika ini, cukai rokok di Malaysia pada kadar 58.6% daripada harga runcit.

Desakan cukai lebih tinggi itu adalah sebahagian daripada 10 cadangan di bawah “Deklarasi Bangi” yang dikemukakan kumpulan itu susulan perbincangan meja bulat Kawalan Produk Merokok untuk Rang Undang-undang (RUU) Kesihatan Awam 2023, sebelum ini dikenali sebagai RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan memastikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengisytiharkan e-rokok dan vape sebagai haram digazetkan di seluruh negara. Ketika ini hanya Kedah dan Johor mengazetkan fatwa itu.

Pada sidang media, kumpulan itu menggesa kerajaan menyemak semula keputusan mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada senarai Akta Racun.

Kerajaan juga digesa mengenakan lesen kepada peniaga yang menjual produk e-rokok dan vape serta melarang penjualan dalam lingkungan 5km dari semua institusi pendidikan dan kawasan perumahan bagi mengehadkan akses orang ramai terhadap produk itu.

Kumpulan itu berkata, mereka akan menghantar deklarasi itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

APM juga menggesa RUU itu segera dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Kami berharap isu ini tidak dipolitikkan kerana kami menggesa sesuatu yang baik untuk negara.

“Ini bukan berkenaan kerajaan hari ini atau yang terdahulu, ini berkenaan sesuatu yang tidak berubah,” kata Presiden APM Saleh Jaafar.

Pada 1 Apr, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata beliau menjangkakan RUU baharu mengenai kawalan tembakau dan vape itu akan dibentangkan apabila Parlimen bersambung bermula Mei.

Zaliha sebelum itu mencetuskan kontroversi selepas mengumumkan cecair dan gel nikotin dikeluarkan dari senarai Akta Racun bagi membolehkan ia dijual.

Pada Ogos lalu, kerajaan sebelum ini membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas untuk disemak. Bagaimanapun, RUU itu luput selepas Parlimen dibubarkan pada Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.