Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

Polis berkata, siasatan mendapati mangsa menegur suspek yang bertengkar dengan ibu mereka kerana lambat keluar dari bilik air.

Polis berkata, suspek berusia 23 tahun direman empat hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana memukul dan mencederakan abangnya akibat tidak puas hati selepas ditegur bertengkar dengan ibu mereka.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata dalam kejadian di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur pada 4 pagi Sabtu lalu, mangsa cedera dan lebam di belakang badan, bahu kanan serta tangan kiri.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku selepas mangsa melihat suspek bertengkar dengan ibu mereka kerana lambat keluar dari bilik air.

Katanya, mangsa berusia 24 tahun menegur adiknya yang mengamuk dan memaki hamun ibu mereka, sebelum dipukul suspek menggunakan getah paip dan batang besi, selain dicederakan dengan pisau.

“Suspek berusia 23 tahun ditahan polis dan didapati mempunyai tiga rekod lampau di bawah kes jenayah serta Akta Dadah Berbahaya,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, polis merampas pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan suspek direman empat hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.