Scammer godam telefon Ahli Parlimen, tipu pinjam wang rakan

Scammer godam telefon Ahli Parlimen, tipu pinjam wang rakan

Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin berkata, penggodam menggunakan gambar profilnya sebelum menghantar mesej untuk meminjam wang daripada kenalannya.

Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin, berkata penggodam itu masih aktif menghantar mesej kepada kenalannya walaupun beliau sudah membuat laporan kepada polis dan SKMM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Melaka membuat laporan polis susulan telefonnya digodam scammer untuk digunakan memperdaya beberapa rakannya bagi meminjam wang.

Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin berkata, pada mulanya individu itu menggunakan gambar profilnya dan menghantar mesej untuk meminjam wang daripada beberapa kenalannya.

“Kemudian dia gunakan profil rakan saya itu untuk menipu saya pula dengan mengatakan nombor telefon saya digodam dan meminta tangkap layar komunikasi terakhir di Telegram.

“Disebabkan terpedaya saya menghantar tangkap layar komunikasi seperti dimintanya hingga scammer itu dapat mengakses semua nombor dalam telefon saya,” katanya menurut Berita Harian.

Menurutnya, beliau menyedari menjadi mangsa pengodam itu apabila dihubungi seorang rakan, pada 11 Apr.

Bakri berkata, setakat ini lima kenalannya menjadi mangsa penipuan tersebut apabila memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 ke RM3,000 dalam akaun penggodam itu.

Susulan kejadian itu, Bakri membuat laporan di Balai Polis Tangga Batu, pada 12 Apr dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Bagaimanapun, Bakri berkata, penggodam itu masih aktif menggunakan lima nombor telefon di WhatsApp untuk menghantar mesej kepada rakannya yang lain selepas laporan dibuat.

“Sepatutnya SKMM terus halang nombor telefon scammer terbabit apabila terima aduan.

“Jadi, pandangan saya sistem aduan SKMM perlu ditambah baik dan Insya-Allah perkara ini saya akan bawa ke Parlimen selain membuat hebahan menerusi TikTok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.