
Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku di kawasan sekolah berkenaan pada 21 Mac lalu.
“Hasil siasatan mendapati punca pelajar tersebut mencederakan diri adalah disebabkan tekanan emosi dan malu apabila ada guru mendakwanya melakukan salah laku dengan pelajar perempuan di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kertas siasatan berkait kejadian itu dirujuk kepada timbalan pendakwa raya negeri untuk mendapatkan laporan penuh perubatan daripada hospital, dan kes masih dalam kajian untuk tindakan selanjutnya.
Hoo juga mengesahkan pelajar tersebut telah membuat satu laporan polis pada 22 Mac lalu menafikan melakukan salah laku di sekolah seperti yang didakwa oleh guru.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Doraisamy mewakili ibu bapa pelajar tersebut, menuduh seorang guru disiplin membuli anak mereka sehingga didakwa mencederakan diri sendiri.
Katanya, guru disiplin itu memaksa pelajar itu menandatangani surat akuan atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh selepas dituduh oleh guru lain yang menyaksikan dia bercakap dengan rakan sekelas perempuan di dalam kelas.