Laporan siasatan kematian tentera di Hutan Belum siap dalam 2 minggu

Laporan siasatan kematian tentera di Hutan Belum siap dalam 2 minggu

Hasil bedah siasat mendapati kematian Mohammad Nasri Mohd Nasib berpunca daripada kecederaan di kepala dipercayai akibat terjatuh.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata laporan penuh siasatan dalaman itu kini lebih 50% siap dan perkembangannya akan dibentangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet Rabu ini. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Laporan penuh siasatan dalaman kematian anggota tentera berpangkat koperal di Hutan Simpan Belum, Perak, pada 12 April lalu dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata setakat ini, laporan siasatan itu lebih 50% siap dan perkembangan terkini siasatan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet pada Rabu ini.

“Siasatan masih berjalan dan selalunya laporan daripada siasatan ini akan dibawa dalam mesyuarat pasca Kabinet…biasanya kita akan ada mesyuarat berkenaan setiap Rabu petang.

“Jadi, pada Rabu ini, kita akan dapat sedikit laporan, tetapi dalam tempoh dua minggu ini, selepas hari raya, kita yakin laporan penuh akan dapat diperoleh,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Alor Gajah di sini malam tadi.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan memastikan kebajikan ahli keluarga Allahyarham Mohammad Nasri Mohd Nasib, terutama isterinya, Nurhayatul Husna, 30, serta anak mereka, Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2, sentiasa terbela dan mendapat pendidikan sempurna.

Media sebelum ini melaporkan Nasri yang merupakan anggota Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang, dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada 7 April lalu.

Jenazah Allahyarham Nasri dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam, Penaga di Pulau Pinang pada 13 April lalu.

Hasil bedah siasat mendapati kematian anggota tentera itu berpunca daripada kecederaan di kepala dipercayai akibat terjatuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.