Kuota minyak masak tak kurang, kekal 60,000 tan sebulan, kata KPDN

Kuota minyak masak tak kurang, kekal 60,000 tan sebulan, kata KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan kekeliruan berhubung laporan pengurangan 40,000 tan minyak masak bersubsidi.

Pihak kementerian berkata, 60 juta pek minyak masak bersubsidi 1kg mencukupi jika digunakan isi rumah sahaja.
PETALING JAYA:
Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi 60,000 tan metrik setiap bulan, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menurut kenyataan, pihak kementerian tidak bercadang mengurangkan kuota sedia ada kepada 40,000 tan metrik sebulan.

“Ini adalah kerana daripada jumlah kuota 60,000 tan metrik itu yang bersamaan 60 juta pek minyak masak bersubsidi 1kg adalah mencukupi sekiranya digunakan oleh isi rumah sahaja,” kata kenyataan itu.

Semalam, memetik laporan Berita Harian, ketua setiausaha kementerian berkenaan, Azman Mohd Yusof, dilaporkan berkata, kuota minyak masak bersubsidi mungkin diturunkan kepada 40,000 tan sebulan, berbanding 60,000 tan, ketika ini.

Katanya, langkah itu berikutan kuota sedia ada tidak dapat dipenuhi syarikat pembungkus atas pelbagai faktor, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

Dalam pada itu, menurut kenyataan kementerian itu, hasil pemeriksaan mendapati kerap berlaku kekurangan minyak masak bersubsidi di kawasan tertentu.

“Situasi ini banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor lain terutama pembelian oleh golongan bukan isi rumah, pembukaan sektor perniagaan yang menggunakan minyak masak dalam perniagaan mereka, syarikat-syarikat pembungkus yang tidak beroperasi pada tahap maksima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.