
Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad berkata, gesaan itu bukan bermakna parti bersikap sombong melayan kritikan dibuat bekas ahli sebaliknya tidak mahu ia menjadi satu proses mengadu domba dan provokasi.
“Agak sukar apabila ketika ini orang di luar Umno banyak bercakap mengenai parti ini. Kalau sudah bukan ahli Umno, tak perlu masuk campur hal parti.
“Bukan bermakna kita sombong sampai tak dengar cakap orang lain, tetapi janganlah ia menjadi satu proses mengadu domba dan provokasi. Tak perlu, tak perlu, cukuplah dengan apa yang telah kita lalui selama ini.
“Terima kasihlah sebab ramai berminat untuk bercakap perkara berkaitan dengan Umno tetapi parti akan buat keputusan. Apa pun keadaannya, Umno akan buat keputusan.
“Kepada mereka yang berada di luar Umno sama ada (bekas ahli) dan sebagainya, terima kasih saya ucapkan kerana masih lagi prihatin dan ada rasa cinta kepada Umno,” katanya menurut Berita Harian.
Saarani yang juga menteri besar Perak berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Pemuda Umno, bahawa sayap itu enggan melayan sebarang kritikan dibuat bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, selepas dipecat daripada parti.
Beliau berkata, Umno kini sudah berada di landasan betul dan biarlah segala kerosakan dalaman diperbaiki oleh kepimpinan baharu.
“Perkara patut ditinggalkan, sudah ditinggalkan dan patut melalui pemutihan juga, sudah diputihkan. Jadi sekarang, biar kepimpinan Umno baharu memperbaiki segala kerosakan yang mungkin telah berlaku. Kita nak terus bergerak, melihat ke hadapan,” katanya.