Penerbangan KL-Tawau RM3,138 sehala, ‘kasihanilah rakyat’, Wee rayu syarikat penerbangan

Penerbangan KL-Tawau RM3,138 sehala, ‘kasihanilah rakyat’, Wee rayu syarikat penerbangan

Bekas menteri pengangkutan itu berkata, tidak masuk akal harga tiket penerbangan ke Sabah masih tinggi kerana kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan seperti waktu pandemik Covid-19.

Wee Ka Siong merayu syarikat penerbangan supaya berpada-pada dan tidak mengenakan tambang yang terlalu tinggi hingga membebankan rakyat.
PETALING JAYA:
Bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong kecewa harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

“Ini amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai. Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak balik beraya tahun ini?,” kata Wee di Facebook.

Beliau berkata harga tiket ketika ini lebih tinggi berbanding sewaktu pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April tahun lepas, iaitu sekitar RM1,000, walaupun ketika itu banyak pesawat masih tidak beroperasi kerana dalam proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sebelum dibenarkan untuk terbang semula.

“Syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan dan tiada lagi sekatan ‘passengers load’ (jumlah penumpang) sebanyak 50% sewaktu Covid-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi.

“Saya merayu kepada syarikat penerbangan, berpada-padalah, tambang terlalu tinggi membebankan rakyat jelata,” rayunya.

“Tambahan pula, frekuensi penerbangan tidak lagi dikawal oleh State Disaster’s Management Committee oleh Sabah atau Sarawak,” kata Wee.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik pada musim perayaan kerana ia mungkin menjejaskan industri pengangkutan udara.

Sebaliknya, beliau menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

“Berkali-kali kementerian menjawab bahawa dari segi harga tiket kapal terbang, ia adalah dinamik dan kita tidak boleh letak harga siling sebab kalau buat atau kawal dari segi harga tetap, ia mungkin akan jejaskan sektor penerbangan,” katanya di Dewan Rakyat pada 14 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.