
Loke berkata beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail untuk mengesahkan dakwaan itu, dan pihaknya dimaklumkan semua tiket kelas ekonomi untuk laluan itu pada hari raya habis dijual.
Tambahnya, hanya tiket kelas perniagaan tersedia bagi penerbangan pada 20 April sempena Aidilfitri.
“Beliau (Izham) juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Wee yang juga bekas menteri pengangkutan kecewa kerana harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.
Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.
“Ini amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai. Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak balik beraya tahun ini?,” kata Wee di Facebook.
Loke berkata dakwaan itu perlu diperbetulkan dan beliau akan menjelaskan mengenai isu tambahan kapasiti penerbangan pada musim Aidilfitri di kementeriannya di Putrajaya, 12 tengah hari esok.
“Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan menteri pengangkutan, saya yakin Wee faham perbezaan antara tiket kelas perniagaan dan kelas ekonomi.
“Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti.”