Didakwa guna sebut harga untuk dapat suapan, pembantu tadbir mengaku tak salah

Didakwa guna sebut harga untuk dapat suapan, pembantu tadbir mengaku tak salah

Nurul Syahirah Omar didakwa atas 6 tuduhan bagi kesalahan yang dikatakan dilakukannya antara Ogos hingga November 2020.

Pembantu tadbir Nurul Syahirah Omar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 6 tuduhan mendapatkan suapan menerusi sebut harga. (Gambar pexels)
JOHOR BAHRU:
Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan menerusi sebut harga sebuah syarikat yang mana beliau mempunyai kepentingan tiga tahun lepas.

Nurul Syahirah Omar, 31, yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Mersing, sebagai individu berkepentingan dalam Amir Barakah Enterprise didakwa mengemukakan sebut harga syarikat itu keseluruhan berjumlah RM13,480.20 menerusi dokumen Borang Kajian Pasaran untuk melaksanakan pelbagai tujuan.

Menerusi dokumen tersebut, ibu kepada seorang anak itu didakwa melaksanakan pembekalan alat ganti kenderaan, pembekalan alat ganti kelengkapan pejabat dan pembekalan alat ganti serta pembaikan kenderaan jabatan.

Selain itu, menerusi dokumen itu juga, dia didakwa melaksanakan penyelenggaraan alat kelengkapan penyiaran dan perhubungan, pembekalan alat ganti kelengkapan elektrik dan elektronik serta penyelenggaraan kenderaan penumpang.

Kesalahan dalam keenam-enam tuduhan itu didakwa dilakukannya antara Ogos hingga November 2020 di Pejabat JPS Daerah Mersing.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan,

Tertuduh turut dikenakan syarat-syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM di sini.

Mahkamah menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor, manakala Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik selaku peguam mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.