
Kebakaran membabitkan tiga rumah teres di lokasi berkenaan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Sarhan Akmal Mohamad berkata, ketika kejadian kedua-dua beradik itu, Azian Zainalabidin, 20, serta Murni Atikah, 25, sedang tidur di tingkat atas rumah.
“Kami menerima panggilan kebakaran jam 3.37 pagi. Seramai 21 anggota balai Pasir Gudang dan balai Johor Jaya dikerah ke lokasi.
“Pasukan operasi yang tiba di lokasi dimaklumkan berkaitan keadaan dua beradik berkenaan.
“Kami terus masuk ke rumah dan semasa diselamatkan, kedua-dua beradik berkenaan pengsan. Kami memberikan bantuan awal kecemasan dan mereka kemudiannya berada dalam keadaan separa sedar,” katanya lapor Harian Metro.
Sarhan Akmal berkata, kedua-duanya terus dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.
Katanya, tujuh sekeluarga mendiami rumah terbabit ketika kejadian.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, kesemua mangsa sudah keluar sebelum menyedari dua beradik berkenaan masih berada di dalam rumah.
“Berdasarkan maklumat jiran, ia berpunca daripada garaj rumah berkenaan. Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
“Turut terbakar ialah Toyota Yaris, Toyota Avanza, Proton Saga serta tiga motosikal,” katanya.