Menang PRN dan jawatan Exco tumpuan Umno Selangor, bukan bilangan kerusi

Menang PRN dan jawatan Exco tumpuan Umno Selangor, bukan bilangan kerusi

AJK Umno Selangor Jamal Yunos berkata, parti itu tidak mahu perebutan kerusi menggugat peluang menawan Selangor.

Umno Selangor mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, yang mana perebutan kerusi antara komponen BN menyebabkan ia tewas di kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi, kata Jamal Yunos.
PETALING JAYA:
Fokus Umno Selangor pada PRN akan datang bukan bilangan kerusi yang ditandingi, sebaliknya memastikan kemenangan gabungan perpaduan dan menyertai pentadbiran akan datang.

Ahli jawatankuasanya, Jamal Yunos berkata, Umno Selangor tidak mahu perebutan kerusi menggugat peluangnya dan parti-parti rakan menawan Selangor.

Selangor ditadbir oleh gabungan pimpinan PKR sejak 2008. PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin seteru Umno, Bersatu, bolot enam kerusi Parlimen. Barisan Nasional (BN) pulang dengan tangan kosong manakala Pakatan Harapan (PH) menang 16 kerusi.

“Formula rundingan kita tak mahu berebut kerusi, tapi kita nak pastikan semua kerusi yang ditandingi menang dan pembahagian dalam mentadbir kerajaan dilakukan,” kata Jamal kepada FMT.

“Maksudnya dalam barisan Exco nanti ada wakil PH, ada wakil BN, itu yang mustahak.”

Katanya, Umno Selangor mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, yang mana perebutan kerusi antara komponen BN menyebabkan ia tewas di kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi.

“Tak ada perebutan, tak ada desakan, tak ada ugutan. Kita lebih memikirkan siapa yang boleh memenangi kerusi tersebut,” kata Jamal.

“Kita akan guna formula parti mana yang boleh menang … secara dasarnya kerusi yang PH menang akan kekal PH tanding kawasan itu. Tak guna berebut kerusi tapi kalah pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada Umno Selangor akan mengetengahkan pemimpinnya sebagai calon menteri besar, Jamal berkata, perkara ini tidak termasuk dalam congakan parti itu kerana ia akan ditentukan oleh pemegang kerusi terbanyak dan Sultan Selangor.

“Umno tidak bermimpi di siang hari. Kami sedar diri setelah kalah tiga penggal ditolak rakyat Selangor.

“Kalau kita tanding lima atau sepuluh kerusi, macam mana kita nak letak ‘poster boy’ di Selangor?” katanya, sambil menyifatkan cakap-cakap mengenai calon menteri besar sebagai “lucu”.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pada 14 Jan percaya gandingan PH dan BN berpotensi menawan kira-kira 53 daripada 56 DUN pada PRN kelak.

Presiden Umno Zahid Hamidi, dalam persediaan menghadapi PRN, mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai penyelaras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.