
Waytha mengulas jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Fawad dihantar pulang ke Pakistan pada Ogos lalu kerana tidak memiliki pas kemasukan yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen.
“Saifuddin diperdaya oleh pegawai tinggi Imigresen untuk mewajarkan tindakan bekas ketua pengarah (Khairul Dzaimee Daud) yang secara salah bekerjasama dengan Perkhidmatan Rahsia Pakistan secara sulit,” kata bekas menteri perpaduan negara dalam satu kenyataan.
“Malaysia ada perjanjian ekstradisi dengan Pakistan. Kerajaan perlu menggunakan perjanjian itu dan peruntukan undang-undang dalam menangani kes Fawad.
“Ini akan memberi Fawad laluan untuk diwakili secara sah dan melawan kesnya di mahkamah undang-undang bahawa dia tinggal di Malaysia adalah sah mengikut undang-undang antarabangsa dan statusnya diiktiraf dibawah Konvensyen Pelarian Geneva.”
Waytha berkata Fawad berada di Malaysia selama satu dekad dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berhubung rapat dengan polis sera pegawai imigresen ketika tempoh itu.
Tindakan mengusir Fawad dengan alasan masuk secara tidak sah adalah “tidak bertanggungjawab”, katanya.
“Menteri mesti menyedari bahawa kehilangan Fawad secara paksa adalah jenayah terhadap kemanusiaan yang ditakrif Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa 1998 dan individu di Malaysia yang bertanggungjawab boleh didakwa walaupun Malaysia bukan penandatangan Statut Rom.”
Waytha juga menambah pengusiran Fawad juga satu pelanggaran jelas Konvensyen Pelarian 1951.
Fawad, 41, dihantar pulang ke Pakistan pada 25 Ogos tahun lalu.
Januari lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat rasmi daripada kerajaan Pakistan, Syed Fawad dikatakan bekas anggota polis yang mempunyai beberapa kes disiplin, bukannya wartawan seperti digambarkan.
Namun, perkara itu dinafikan Syeda, isteri kepada Fawad.
Bulan lalu, peguam Fawad mengesahkannya telah dibebaskan daripada penjara di Pakistan selepas enam bulan ditahan sebaik tiba di negara asalnya.
Fawad, 41, telah memohon suaka politik di Malaysia kerana mendakwa menerima ancaman di Pakistan berhubung artikel mengenai dakwaan rasuah dalam kerajaan di beberapa akhbar berbahasa Inggeris di negara asalnya.